- Iklan -
Berita

Pejuang mahu dengar, fahami ‘khemah besar’ PH terlebih dahulu, kata Mukhriz

Pejuang juga berhasrat bertanding di Sabah pada PRU15.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir. Gambar: Bernama
Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir. Gambar: Bernama

Pejuang juga mahu memahami terlebih dahulu maksud sebenar agenda “khemah besar” Pakatan Harapan (PH), kata presidennya Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan hasrat parti itu untuk bertanding di Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, ia belum membuat sebarang keputusan berkaitan jumlah kerusi dan kawasan ditandingi di Sabah pada PRU15.

“Insya Allah, kita (Pejuang) akan menyertai pilihan raya umum termasuk di Sabah tetapi belum ada keputusan dibuat berkaitan jumlah kerusi, di mana (kawasan) hendak bertanding dan sebagainya,” katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar Pejuang Sabah semalam.

Mengulas agenda “khemah besar” dibawa oleh PH, Mukhriz berkata Pejuang ingin mendengar dan memahami terlebih dahulu maksud sebenar tawaran itu.

“Apa peranan setiap parti termasuk kami yang dianggap sebagai parti kecil, hanya empat ahli Parlimen. Jadi kita mahu beri ruang kepada mereka untuk menerangkan maksud sebenar ‘khemah besar’ itu.

“Kalau ingat zaman PH pasca PRU14, ‘khemah besar’ yang diwujudkan ketika itu memberi ruang kepada semua parti tidak kira berapa jumlah kerusi dimenangi penyertaan dalam jemaah menteri. Itu satu pendekatan. Jadi kita nak faham apakah pendekatan seperti itu juga hendak diamalkan atau ada pihak tertentu akan mendominasi ‘khemar besar’ tersebut,” katanya.

Turut hadir dalam Majlis Iftar Pejuang Sabah semalam adalah Ketua Pejuang Sabah Nicholas Sylvester Abdullah.

Mengenai Pejuang Sabah, Mukhriz berkata ia akan dilancarkan secara rasmi di negeri ini pada 22 Mei ini, selain pihaknya turut bercadang untuk memperluaskan lagi pengaruh parti itu di semua 25 kawasan Parlimen seluruh Sabah sebagai antara persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.

Mukhriz berkata Pejuang berharap dapat membuka cawangan di semua kawasan Parlimen itu dan pada masa ini mempunyai 16 cawangan yang sekali gus menjadi negeri ketiga mempunyai keahlian paling ramai selepas Kedah dan Selangor.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya bersikap terbuka untuk membuat perbincangan mengenai jalinan kerjasama dengan mana-mana parti bagi mendepani PRU15 bukan hanya di Sabah tetapi juga di Semenanjung Malaysia.

Katanya semua pihak walaupun mempunyai perbezaan ideologi politik, namun masing-masing memiliki persamaan iaitu untuk mengubah corak politik negara sepertimana pada PRU14 lepas.