- Iklan -
Berita

Ukraine dalam usaha dapatkan dana Rusia yang dibekukan untuk atasi kerugian perang

Ukraine menganggarkan kos bagi semua kemusnahan setakat ini adalah kira-kira AS$500 bilion.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Pihak berkuasa Ukraine membersihkan kawasan pasar raya Retroville yang diserang Rusia di Kyiv. Gambar: AFP
Pihak berkuasa Ukraine membersihkan kawasan pasar raya Retroville yang diserang Rusia di Kyiv. Gambar: AFP

Ukraine sedang bekerjasama dengan sekumpulan peguam antarabangsa berhubung mekanisme yang boleh digunakan untuk mendapatkan dana Rusia yang dibekukan sebagai pampasan bagi mengimbangi kerugian yang ditanggung negara itu akibat pencerobohan Moscow, kata Menteri Kehakiman Denys Malyuska.

Pihak berkuasa berkata operasi ketenteraan khas Rusia sejak 24 Februari lalu telah mengakibatkan kemusnahan sehingga 30% di semua infrastruktur dalam pelbagai tahap di Ukraine.

Ukraine menganggarkan kos bagi semua kemusnahan setakat ini adalah kira-kira AS$500 bilion.

Kesatuan Eropah (EU) sedang berusaha mewujudkan dana antarabangsa untuk pembinaan semula negara itu, manakala segelintir ahli politik EU menggesa supaya aset Rusia yang dibekukan digunakan sebagai pampasan termasuk AS$300 bilion rizab di bank pusat Rusia.

“Ukraine memilih untuk mendapatkan wang paling penting untuk kami, iaitu wang Bank Pusat dan Tabung Kebajikan Persekutuan Russia.

“Wang itu ada di satu tempat, satu pemilik dan pemiliknya telah melakukan perbuatan jenayah,” kata Malyuska merujuk kepada Russia dan menambah ia adalah “jumlah wang yang besar”.

Berdasarkan analisis data bank pusat Rusia, dana berkenaan berjumlah kira-kira AS$500 bilion.

“Kami tahu di mana wang itu boleh diperolehi,” tambahnya.

Malyuska turut berkata sebahagian daripada dana itu berada di AS, dengan selebihnya di Britain dan beberapa negara EU.

Kremlin bagaimanapun tidak memberi respons ketika dihubungi Reuters.

AS dan Britain juga tidak memberikan maklum balas segera terhadap cadangan Ukraine itu.

Malyuska berkata pasukan undang-undang sedang menyiasat perkara itu dan penyelesaian paling cepat adalah setiap negara meluluskan undang-undang khas mereka yang membenarkan dana Rusia digunakan bagi kegunaan Ukraine.

“Ia memerlukan tahap keberanian dan kemahuan politik daripada setiap negara,” katanya.

Ukraine turut mencadangkan supaya kuasa Barat menandatangani perjanjian antarabangsa untuk menyelaraskan mekanisme pampasan, sekali gus memastikan keputusan dibuat secara persetujuan bersama.

“Terdapat kepentingan politik yang besar dalam perkara ini. Setiap negara Barat sedar bantuan kepada Ukraine menggunakan duit pembayar cukainya adalah satu hal yang janggal,” katanya.

Malyuska berkata menyasarkan dana Rusia yang dibekukan tidak bermakna Ukraine melupakan rancangannya untuk menggunakan dana beberapa oligarki yang dibekukan, di mana golongan itu dilihat rapat dengan Presiden Vladimir Putin.

Ribuan orang terbunuh selain bandar dan kota Ukraine hancur teruk akibat serangan Moscow.

Sementara 11 juta penduduk atau hampir satu perempat populasi Ukraine kehilangan tempat tinggal sejak serangan Rusia yang bermula Februari lalu.