- Iklan -
Berita

Wawancara ringkas berhubung RUU anti lompat parti bersama menteri undang-undang

Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjawab beberapa soalan mengenai pelaksanaannya di peringkat DUN, dan apa yang berlaku jika negeri tidak menerima RUU itu selain penguatkuasaan Seksyen 18 (c) Akta Pertubuhan.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen bersidang di Dewan Rakyat. Rang undang-undang anti lompat parti yang dicadangkan akan menyaksikan ahli Parlimen kehilangan kerusi mereka jika mereka bertukar kem atau dipecat oleh parti. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen bersidang di Dewan Rakyat. Rang undang-undang anti lompat parti yang dicadangkan akan menyaksikan ahli Parlimen kehilangan kerusi mereka jika mereka bertukar kem atau dipecat oleh parti. Gambar: Bernama

S: Adakah rang undang-undang (RUU) anti lompat parti turut terpakai di Dewan Undangan Negeri (DUN)?

Kami akan meminda jadual kelapan Perlembagaan. Pindaan jadual kelapan adalah berkaitan dengan ahli DUN.

Pindaan itu adalah untuk memberi autonomi kepada negeri, untuk memilih sama ada melaksanakan undang-undang itu atau tidak di peringkat negeri.

Jadi, sama ada negeri mahu terima undang-undang itu atau tidak, terpulang kepada negeri.

S: Adakah Sarawak akan melaksanakan undang-undang anti lompat parti?

Bagi Sarawak, jika undang-undang anti lompat parti diluluskan, undang-undang itu tidak boleh dikuatkuasakan sehingga ia mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Ini dicadangkan oleh premier Sarawak semasa sesi libat urus mengenai undang-undang yang dicadangkan.

Beliau mencadangkan penguatkuasaan undang-undang itu di Sarawak.

Agong perlu berbincang dengan gabenor, namun ia mesti atas nasihat premier.

Jika dipersetujui, barulah undang-undang itu boleh dilaksanakan di Sarawak.

Hal ini penting supaya tidak ada pihak yang mempertikaikannya.

Saya turut berpandangan sama dengan premier dalam soal autonomi negeri dalam memutuskan undang-undangnya sendiri.

Ia bukan hak persekutuan (kerajaan) untuk putuskan.

S: Jadi, apa keputusan Sarawak?

Pindaan jadual kelapan itu akan memberi ruang kepada negeri untuk membuat keputusan sama ada menerima undang-undang itu atau tidak.

Terdapat beberapa negeri yang sudah mempunyai undang-undang anti lompat parti mereka sendiri.

Contohnya; Sarawak, Kelantan, Pulau Pinang dan Sabah.

Bagaimanapun, undang-undang itu tidak berkuat kuasa kerana Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan berpersatuan.

Ini menimbulkan masalah undang-undang di Kelantan di mana ia melibatkan kes Nordin Salleh.

Dengan pindaan jadual kelapan, Sarawak (dan negeri-negeri lain) akan dibenarkan untuk memutuskan sama ada negeri itu mahu menerima dan menguatkuasakan undang-undang ini atau sebaliknya.

S: Bagaimana pula jika sesebuah negeri enggan menerima undang-undang anti lompat parti?

Jika sesebuah negeri enggan menerima undang-undang itu, bermakna seorang Adun boleh melompat ke parti lain, dan akhirnya akan jadilah seperti apa yang berlaku di Perak dua tahun lalu.

S: RUU tersebut antara lain mengatakan individu yang dipecat daripada parti akan kehilangan kerusi diwakilinya. Tetapi pada masa yang sama, Seksyen 18(c) Akta Pertubuhan mengatakan keputusan parti tidak boleh dicabar di mahkamah. Adakah ini akan menimbulkan persoalan apakah ia adil bagi seorang wakil rakyat hilang kerusi kerana dipecat parti?

Akta anti lompat parti ini adalah berkait dengan status ahli Parlimen ketika dia dipecat daripada parti.

Ini bermakna, mereka yang dipecat daripada parti akan kehilangan kerusi juga, walaupun pemecatan itu salah, tidak adil atau dilakukan dalam keadaan kontroversi.

Sebagai contoh, presiden memecat ahli Parlimen, bukan kerana masalah disiplin tetapi kerana beberapa masalah.

Perkara ini dibangkitkan oleh Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Tetapi pada masa ini, kami belum memutuskan sama ada untuk memasukkan isu pemecatan dalam pindaan.

Jadi, Seksyen 18(c) Akta Pertubuhan akan diteruskan seperti biasa kerana kami belum memutuskan sama ada isu itu akan memasukkan juga dalam pindaan.

Masalah dengan akta ini ialah hak mutlak diberikan kepada sesebuah parti apabila ia melibatkan penyingkiran ahlinya.

S: Apa yang berlaku jika presiden menyebabkan parti memecat ahli Parlimen bukan kerana salah laku, tetapi kerana presiden bermasalah?

Sebenarnya, isu ini tidak akan timbul sekiranya parti itu tidak memecat ahlinya sejak awal.

Jika presiden mahu pecat, dia boleh pecat semua ahli Parlimennya. Pecat siapa sahaja dan kemudian tiada siapa yang mahu bekerja dengannya. Tetapi hanya orang yang bodoh sahaja buat begitu.

Menggubal undang-undang anti lompat parti ini sangat rumit.

Kebimbangan sebenar dalam kalangan ramai ahli Parlimen ialah mereka akan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen walaupun mereka dipecat secara salah oleh parti mereka.

Sebagai contoh, Parti ABC pecat ahli Parlimennya, maka status ahli Parlimen itu secara automatik akan terbatal kerana Perlembagaan Persekutuan menyatakan demikian.

S: Adakah undang-undang anti lompat parti ini boleh diluluskan sebelum Julai depan?

Saya sudah buat kerja (untuk menggubal undang-undang ini) selama lapan bulan. Sebenarnya saya agak kecewa apabila draf itu tidak diterima oleh ahli Parlimen.

Sebagai contoh, undang-undang pilihan raya semula di England.

Malah di Singapura, isu pemecatan ini sudah pun dimasukkan dalam undang-undang anti lompat parti sejak awal lagi.

Maksudnya, undang-undang di negara kita masih ketinggalan. Itu sahaja.

Saya tidak mempunyai apa-apa kepentingan peribadi kerana saya hanya tunaikan tanggungjawab saya untuk jaga hal-hal berkait undang-undang sebagai ahli Parlimen.

Tetapi, jika Malaysia mahu biarkan undang-undang kita kekal seperti apa yang sudah ada, saya tidak ada masalah.