- Iklan -
Berita

Putrajaya, Sabah setuju pemberian khas dinaikkan 4.7 kali ganda

Pemberian khas dinaikkan dari RM26.7 juta kepada RM125.6 juta bagi tahun 2022.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Kerajaan persekutuan dan Sabah bersetuju menaikkan geran khas dari RM26.7 juta kepada RM125.6 juta bagi 2022. Gambar: Bernama
Kerajaan persekutuan dan Sabah bersetuju menaikkan geran khas dari RM26.7 juta kepada RM125.6 juta bagi 2022. Gambar: Bernama

Amaun pemberian khas baru kepada Sabah dinaikkan sebanyak 4.7 kali ganda dari RM26.7 juta kepada RM125.6 juta bagi tahun 2022, menurut kenyataan bersama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.

Amaun berkenaan akan terus meningkat setiap tahun bagi tempoh 2023-2026, mengikut kadar kenaikan yang dipersetujui bersama.

Kenyataan bersama itu menyebut kenaikan amaun itu, ekoran kerajaan persekutuan dan kerajaan Sabah telah berjaya mencapai kata sepakat mengenai kajian semula pemberian khas kepada Sabah, di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan pada hari ini.

“Ini merupakan susulan kepada beberapa perbincangan dan rundingan yang diadakan oleh Kementerian Kewangan dan kerajaan Sabah, dengan kebanyakan terma dipersetujui pada 14 Februari 2022.

“Persetujuan ini juga merupakan satu petanda penting memandangkan kali terakhir kajian semula berkenaan dibuat adalah pada 1969,” menurut kenyaataan itu.

Menurut kenyataan itu persetujuan kajian semula baru tersebut turut merangkumi perkara lain iaitu, kerajaan persekutuan dan kerajaan Sabah akan terus berunding berhubung tuntutan 40% daripada hasil Sabah, dan menjalankan kajian semula pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Ini bertujuan untuk mendapatkan suatu amaun pemberian khas baru yang dapat mengimbangi keperluan Sabah, tanpa menjejaskan kedudukan kewangan kerajaan Persekutuan.

“Sekiranya suatu amaun baru yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak berjaya dicapai sebelum tahun 2026, maka amaun baru tersebut akan diguna pakai untuk menggantikan bayaran pemberian khas kepada negeri Sabah bermula 2022,” menurut kenyataan itu lagi.

Menurut kenyataan itu persetujuan tersebut adalah tanpa prejudis terhadap kewajipan dan hak kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah, untuk meneruskan kajian semula pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dengan mengambil kira kedudukan kewangan kerajaan Persekutuan, serta keperluan kerajaan Sabah berhubung kos perkhidmatan negeri.

Kerajaan Sabah juga berhak untuk bergantung kepada formula asal seperti dinyatakan dalam Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

Pelaksanaan kajian semula pemberian khas itu, termasuk hak kedua-dua kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah untuk merujuk perkara itu kepada penaksir bebas (jika tiada persetujuan dicapai), seperti dinyatakan dalam Perkara 112D(6) Perlembagaan Persekutuan.

“Kedua-dua pihak iaitu kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah akan membekalkan data dan maklumat mengenai kedudukan kewangan kerajaan Persekutuan, serta keperluan kerajaan Sabah berhubung kos perkhidmatan negeri yang akan diambil kira dalam proses kajian semula pemberian khas tersebut, menurut kenyataan itu lagi.

Menurut kenyataan itu persetujuan berjaya dimeterai antara kerajaan persekutuan dan kerajaan Sabah itu melambangkan semangat Keluarga Malaysia, komitmen kerajaan persekutuan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 kepada kerajaan Sabah, serta keprihatinan negeri di bawah bayu itu terhadap peranan dan kemampuan kerajaan persekutuan untuk membawa pembangunan dan kesejahteraan.

“Penghargaan kami kepada delegasi kerajaan persekutuan yang diketuai Menteri Kewangan (Tengku Zafrul Abdul Aziz) dan delegasi kerajaan Sabah yang diterajui Menteri Kewangan II Sabah (Masidi Manjun) dalam pencapaian bersejarah ini,” menurut kenyataan itu.