- Iklan -
Berita

Najib tak beri kelulusan berkait nota janji hutang lebih AS$2.3 bilion, kata bekas pengarah 1MDB

Saksi pendakwaan Ismee Ismail bersetuju bahawa 'nota janji hutang' tersebut tidak pernah ditunjukkan kepada lembaga pengarah 1MDB.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas pengarah bukan eksekutif 1MDB Ismee Ismail. Gambar: Bernama
Bekas pengarah bukan eksekutif 1MDB Ismee Ismail. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa Najib Razak tidak pernah memberikan kelulusannya kepada pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk menukar pelaburan Petro Saudi International (PSI) syarikat itu kepada “nota janji hutang” yang dikatakan bernilai AS$2.3 bilion.

Bekas pengarah bukan eksekutif 1MDB Ismee Ismail, 58, berkata demikian semasa disoal balas oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan bekas perdana menteri itu berhubung penyelewengan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB.

Ismee bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa adalah tidak masuk akal bagi pengurusan 1MDB menerima nota janji hutang tanpa cagaran.

Saksi pendakwaan ke-13 itu juga bersetuju bahawa “nota janji hutang” tersebut tidak pernah ditunjukkan kepada lembaga pengarah 1MDB.

Apabila ditanya mengenai pemahamannya mengenai nota janji hutang itu, Ismee berkata: “Ia seperti ‘saya berjanji untuk membayar’ “.

Beliau juga berkata pengurusan dana itu seolah-olah bertindak atas arahan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Sebelum ini, mahkamah diberitahu bahawa 1MDB membayar AS$1 bilion pada 2009 untuk 40% kepentingan dalam usaha sama itu manakala PSI memegang baki 60%. Dana tersebut kemudiannya ditukarkan kepada nota Murabahah Islamiah.

1MDB kemudian membayar AS$830 juta lagi antara 2010 dan 2011 bagi tujuan yang sama. Menjelang 2012, nota itu dikatakan bernilai AS$2.22 bilion.

Shafee kemudian menyoal saksi mengenai laporan kewangan 1MDB bagi 2013 yang sepatutnya dimuktamadkan oleh firma audit KPMG namun mereka tidak dapat berbuat demikian walaupun selepas setahun.

Menjawab perkara itu, Ismee berkata ia disebabkan oleh KPMG tidak berpuas hati terhadap dokumen dan jawapan yang diberikan oleh pengurusan 1MDB kepada syarikat audit berkaitan pelaburan 1MDB dalam Brazen Sky Ltd, sebuah syarikat yang diperbadankan di British Virgin Islands oleh Low.

Ismee berkata pada masa itu, beliau telah meminta satu mesyuarat diadakan oleh pengurusan 1MDB, semata-mata untuk mengemas kini lembaga pengarah terutamanya berhubung dokumen dan butiran yang diminta oleh KPMG mengenai isu pelaburan Brazen Sky, kerana KPMG membangkitkan isu “aset asas” pelaburan.

Shafee: Adakah anda, terfikir bahawa KPMG menyusahkan?

Ismee menjawab mereka “agak mendesak”.

Shafee: Mereka mempunyai alasan kukuh untuk mendesak. Sekarang, jika melihat kembali, anda tahu apa yang berlaku kepada wang (pelaburan)?

Ismee: Ya.

Ismee juga bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa sepanjang proses itu, Najib tidak menghalang audit 1MDB oleh KPMG.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.