- Iklan -
Berita

Tidak kesal tinggalkan BN, kata pemimpin Sarawak selepas PRN Johor

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Abdul Karim Rahman Hamzah keputusan meninggalkan Barisan Nasional di Sarawak adalah tepat.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Gabungan Parti Sarawak yang ditubuhkan pada 2018 memenangi 76 dari 82 kerusi DUN pada PRN Sarawak Disember lalu.
Gabungan Parti Sarawak yang ditubuhkan pada 2018 memenangi 76 dari 82 kerusi DUN pada PRN Sarawak Disember lalu.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Abdul Karim Rahman Hamzah hari ini menegaskan pemimpin Sarawak tidak menyesal meninggalkan Barisan Nasional (BN) di negeri itu, susulan gabungan itu mencatatkan satu lagi kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) di Johor.

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau berkata sekiranya Gabungan Parti Sarawak (GPS) kekal bersama BN, negeri itu mungkin tidak dapat bersuara.

“Keputusan untuk keluar adalah langkah bersama semua parti dalam BN Sarawak ketika itu,” katanya.

“Ia adalah keputusan yang tepat.”

Merujuk kemenangan besar GPS pada PRN Sarawak Disember lalu, beliau berkata ia adalah bukti penerimaan rakyat terhadap gabungan yang diketuai Premier Abang Johari Openg.

“GPS memenangi 76 dari 82 kerusi yang ditandinginya,” katanya.

“Jadi, tidak timbul isu kesal tinggalkan BN. Ia adalah keputusan yang baik.”

GPS, terdiri daripada PBB, Parti Rakyat Sarawak, Parti Demokratik Progresif dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak.

Gabungan itu ditubuhkan pada 2018 berikutan kekalahan mengejut BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Berhubung keputusan PRN Johor Sabtu lalu, Karim berkata mesej jelas dihantar kepada pemimpin politik.

“Tahniah kepada BN atas kemenangan yang memberangsangkan,” tambahnya.

“Pemenang dan yang kalah perlu melakukan bedah siasat untuk mengenal pasti apa yang menyebabkan mereka menang besar dan kalah besar.”

Namun begitu, beliau berkata masih sukar untuk mengatakan sama ada BN boleh melakar kemenangan serupa pada PRU15.

“Bagaimana hasil keputusan PRU itu adalah bergantung kepada bagaimana parti politik dan pemimpin mereka menyesuaikan diri,” katanya.

Tambahnya, kemenangan BN sebahagiannya adalah disebabkan apa yang disifatkan sebagai keangkuhan di pihak Pakatan Harapan (PH) dan ketidakmampuan gabungan pembangkang itu untuk menunjukkan ia boleh mentadbir dengan baik.

BN memenangi 40 dari 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Johor pada Sabtu lalu.

PH yang sebelum ini memegang 27 kerusi hanya mampu memenangi 11 kerusi manakala PKR yang bertanding di bawah logo sendiri hanya memperolehi satu kerusi.

Sementara itu, Perikatan Nasional diketuai Muhyiddin Yassin menang tiga kerusi DUN.