- Iklan -
Berita

PAS akan terus bersama PN selepas PRN Johor

Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata PAS akan terus menyantuni rakyat Johor dan berlapang dada dengan keputusan PRN 12 Mac lalu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bendera Perikatan Nasional yang dikibarkan sempena PRN Johor 12 Mac lalu.
Bendera Perikatan Nasional yang dikibarkan sempena PRN Johor 12 Mac lalu.

PAS akan terus bersama Perikatan Nasional (PN) menyantuni rakyat sambil berlapang dada dengan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam, kata Naib Presiden PAS Idris Ahmad.

Beliau berkata walaupun PN hanya memenangi tiga kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Maharani dan Endau, gabungan tersebut akan terus bersama-sama menyuburkan konsep perpaduan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

“Jangan diukur keputusan pada PRN Melaka dan Johor. Kita baru lagi bersama. Kita terima kekalahan dan akan sediakan satu perancangan untuk bergerak ke hadapan menghadapi PRU15. Apa yang penting adalah perpaduan,” katanya selepas menyampaikan hadiah pertandingan futsal Parlimen Bukit Gantang semalam.

Pada PRN Johor, Barisan Nasional menang 40 dari 56 kerusi DUN, diikuti Pakatan Harapan (11), PN (tiga), Muda (satu) dan PKR (satu).

Dalam pada itu, Idris yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama) berkata para agamawan termasuk ustaz diminta menyebar luas kepentingan mengambil vaksin melalui kuliah dan ceramah bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

“PAS bukan cakap mengenai agama Islam sahaja tetapi juga berkaitan kesihatan kerana ia sebahagian daripada Islam. Kalau kita sakit kita kena cari ubat, penawar. Begitu juga untuk melawan mitos, kita kena bercakap menggunakan fakta kenapa pentingnya mengambil vaksin melalui kuliah dan ceramah,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.