- Iklan -
Berita

Khairuddin umum keluar PAS

Beliau berkata buat masa ini, beliau akan menjadi bebas dan akan terus dengan perjuangan dasar PAS iaitu Islam.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Kuala Nerus Mohd Khairuddin Aman Razali.
Ahli Parlimen Kuala Nerus Mohd Khairuddin Aman Razali.

Ahli Parlimen Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali hari ini mengumumkan sudah menyerahkan surat kepada Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan memohon berhenti daripada menjadi ahli PAS.

Pada sidang media di Parlimen hari ini, Khairuddin berkata surat permohonannya untuk berhenti daripada menjadi ahli adalah mengikut perlembagaan PAS.

“Merujuk perlembagaan PAS, fasal 15 (1) (a) pemberhentian ahli dengan permintaan sendiri.

“Maka dengan ini saya Mohd Khairuddin Aman Razali pemegang nombor keahlian PAS 313899 memohon untuk berhenti daripada menjadi ahli PAS,” katanya sambil menyatakan rasa terima kasih beliau kepada parti itu kerana memberikan peluang kepadanya mewakili parti itu dalam pilihan raya sebanyak dua kali.

Pada 14 Januari lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengesahkan Khairuddin dipecat sebagai ahli jawatankuasa (AJK) pusat parti itu.

Walaupun tidak menjelaskan punca sebenar Khairuddin digugurkan, namun Hadi merujuk isu disiplin dalam parti ketika bercakap mengenainya.

“Mestilah ada alasan (digugurkan), dalam parti kita ada disiplin. Siapa yang tidak ikut (disiplin), dia boleh ditukarkan jawatan, bertugas di tempat lain, digantung keahlian atau boleh dipecat,” kata Hadi.

Dalam pada itu, ketika ditanya pemberita alasan berhenti dari PAS, Khairuddin berkata soalan tersebut sukar untuk dijawab.

Katanya, beliau masih bersama dengan dasar yang diperjuangkan PAS iaitu Islam namun tidak lagi dalam organisasi parti itu.

“Saya kekal PAS, tetapi bukan ahli berorganisasi, tetapi bersama perjuangan dasar.

“Sementara itu, saya akan jadi bebas,” katanya.

Sebelum ini, Khairuddin diuar-uarkan sebagai salah seorang daripada kem kecil dalam kepimpinan PAS yang mahu parti itu terus bekerjasama dengan Umno.

PAS adalah sebahagian daripada gabungan Perikatan Nasional (PN), sebuah gabungan yang diketuai Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Sebuah klip audio rakaman perbualan yang dikatakan menunjukkan Khairuddin mengkritik tindakan Hadi untuk meninggalkan Umno turut tular sebelumnya.

Khairuddin berkhidmat sebagai menteri industri perladangan dan komoditi di bawah pentadbiran Muhyiddin di bawah PN, namun beliau digugurkan oleh Ismail Sabri Yaakob ketika mengambil alih jawatan perdana menteri pada Ogos tahun lalu.