- Iklan -
Berita

PAS pecat ahli Parlimen Kuala Nerus sebagai AJK Pusat

Pemecatan beliau disahkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang pagi tadi.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Kuala Nerus Mohd Khairuddin Aman Razali.
Ahli Parlimen Kuala Nerus Mohd Khairuddin Aman Razali.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini mengesahkan Mohd Ahli Parlimen Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali dipecat sebagai ahli jawatankuasa (AJK) pusat parti itu.

Walaupun tidak menjelaskan punca sebenar Khairuddin digugurkan, namun Hadi merujuk isu disiplin dalam parti ketika bercakap mengenainya, lapor Utusan Malaysia.

“Mestilah ada alasan (digugurkan), dalam parti kita ada disiplin. Siapa yang tidak ikut (disiplin), dia boleh ditukarkan jawatan, bertugas di tempat lain, digantung keahlian atau boleh dipecat,” kata Hadi ketika ditanya selepas kuliah Jumaat di Masjid Rusila, Marang.

Khairuddin yang kalah dalam pemilihan parti November lalu, dilantik semula sebagai AJK PAS Pusat bersama Mohd Zuhdi Marzuki dan Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Satu sumber mengatakan berkata Khairuddin merupakan salah seorang daripada kem kecil dalam kepimpinan PAS yang mahu parti itu terus bekerjasama dengan Umno.

PAS adalah sebahagian daripada gabungan Perikatan Nasional, sebuah gabungan yang diketuai Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini, Hadi beberapa kali menegaskan Muafakat Nasional, satu piagam yang ditandatangani PAS dan Umno pada 2019 ketika kedua-dua parti berada dalam blok pembangkang perlu memasukkan Bersatu sebagai anggotanya.

Dua bulan lalu, tular sebuah klip audio rakaman perbualan yang dikatakan menunjukkan Khairuddin mengkritik tindakan Hadi untuk meninggalkan Umno.

Khairuddin berkhidmat sebagai menteri industri perladangan dan komoditi di bawah pentadbiran Muhyiddin, namun beliau digugurkan oleh Ismail Sabri Yaakob ketika mengambil alih jawatan perdana menteri pada Ogos tahun lalu.