- Iklan -
Berita

Peratusan mengundi tinggi boleh bantu PN, kata Muhyiddin

Menurut pengerusi PN itu, peratusan undi yang rendah tidak akan mencerminkan kehendak rakyat Johor yang sebenar.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Pengundi DUN Maharani menunggu giliran untuk membuang undi di SMK Sri Muar hari ini.
Pengundi DUN Maharani menunggu giliran untuk membuang undi di SMK Sri Muar hari ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mengulangi seruan kepada 2.8 juta pengundi Johor untuk keluar menunaikan tanggungjawab mengundi hari ini.

Katanya, peratusan undi yang rendah tidak akan mencerminkan kehendak rakyat Johor sebenar.

“Saya percaya mereka mahukan perubahan dan kerajaan baru. Saya harap. Mereka yang ada dalam daftar pemilih keluar mengundi.

“Dari tinjauan saya turun ke pelosok Johor saya lihat perkembangan menggalakkan dan sambutan kempen PN boleh dikatakan bersemangat,” katanya kepada pemberita.

Katanya, jumlah pengundi sehingga 80% boleh membantu PN.

Terdahulu katanya laporan kesesakan di Muar semalam merupakan satu perkembangan baik.

Ini kerana ia mungkin menggambarkan pengundi luar yang pulang ke negeri selatan ini untuk membuang undi.

Sebelum ini, penganalisis menjangkakan Barisan Nasional (BN) mampu mengekalkan kerajaan negeri sekiranya jumlah pengundi kurang daripada 70%.

Walaupun berlaku pertandingan tiga penjuru antara blok BN, PN, dan Pakatan Harapan (PH), penganalisis sebelum ini berkata persaingan tertumpu antara BN dan PN.

Pilihan Raya Negeri Johor diadakan selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan pada Januari.

BN mendakwa majoriti satu kerusi yang diperolehinya tidak mencukupi untuk kestabilan pentadbiran negeri.

Kemenangan BN bermakna tekanan daripada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi supaya Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan segera akan mendapat momentum.