- Iklan -
Berita

Menjelang keputusan mahkamah, kumpulan hak asasi mohon pengampunan bagi Nagaenthran

Rayuan itu dibuat dalam surat berasingan oleh Amnesty International dan Anti-Death Penalty Asia Network kepada Presiden Singapura Halimah Yacob.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Aktivis mengangkat gambar Nagaenthran K Dharmalingam dalam himpunan penyerahan memorandum di Parlimen.
Aktivis mengangkat gambar Nagaenthran K Dharmalingam dalam himpunan penyerahan memorandum di Parlimen.

Kumpulan hak asasi manusia merayu supaya pengampunan diberikan kepada Nagaenthran K Dharmalingam pada saat akhir pelaksanaan hukuman mati ke atasnya di Singapura bagi kesalahan dadah, mengatakan banduan bilik akhir itu merupakan orang kurang upaya (OKU) mental dan mempunyai masalah psikologi.

Nagaenthran, 34, ditahan pada 2009 kerana menyeludup sejumlah kecil heroin ke Singapura, dan menjatuhkan hukuman mati pada tahun berikutnya.

Banduan bilik akhir warga Malaysia itu dijadualkan menjalani hukuman gantung pada November tahun lalu, namun keputusan mahkamah itu mencetuskan kritikan ekoran kebimbangan terhadapnya yang merupakan OKU mental.

Kesatuan Eropah dan taikun syarikat penerbangan Britain Richard Branson adalah antara mereka yang mengecam keputusan tersebut.

Rayuan terbaru oleh Amnesty International dan Anti-Death Penalty Asia Network (Adpan) itu dihantar dalam surat berasingan kepada Presiden Singapura Halimah Yacob melalui kedutaan republik itu di Malaysia.

Minggu lalu, peguam Nagaenthran, Violet Netto menggesa Mahkamah Rayuan Singapura menunjukkan “belas kasihan” dengan membenarkan banduan itu menjalani penilaian bebas oleh pakar psikiatri.

Bagaimanapun, mahkamah masih belum mengeluarkan keputusan berhubung rayuan tersebut.

Dalam suratnya, Amnesty berkata Nagaentran didapati “mempunyai masalah fungsi intelek dan defisit kognitif”.

Sementara Adpan mengatakan lelaki itu juga mengalami “kecacatan psikologi” dan meminta presiden Singapura “memberi pengampunan atau campur tangan bagi meringankan hukuman matinya”.

Beberapa aktivis hak asasi manusia turut dilihat mengangkat poster Nagaenthran di luar kedutaan ketika surat itu diserahkan kepada wakil.

Penyokong Nagaenthran turut mengatakan beliau yang mempunyai skor IQ sebanyak 69 – di bawah nilai ambang 70 yang membolehkan seseorang diisytiharkan sebagai OKU mental – telah dipaksa untuk melakukan jenayah itu.

Singapura sebelum ini menolak rayuan daripada pemimpin Malaysia supaya beliau diberi pengampunan, mengatakan Nagaentran “telah diberikan proses yang sewajarnya di bawah undang-undang”.

Pihak berkuasa Singapura juga berkata keputusan undang-undang itu juga telah mendapati bahawa Nagaenthran “sedar apa yang dia lakukan” ketika kesalahan itu berlaku.

Sekiranya hukuman gantung dilaksanakan ke atas Nagaenthran, ia akan menjadi pelaksanaan pertama hukuman itu dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Aktivis juga turut memberi amaran pihak berkuasa Singapura juga sedang bersiap sedia untuk melaksanakan hukuman mati ke atas tiga banduan bilik akhir lain.

Menurut Amnesty, Singapura adalah antara lebih 30 negara di seluruh dunia yang mengekalkan hukuman mati bagi kesalahan dadah.

Republik itu juga menegaskan ia pelaksanaannya telah membantu Singapura untuk kekal menjadi salah satu negara paling selamat di Asia.