- Iklan -
Berita

5 suspek kes godam sistem imigresen bakal berdepan 113 pertuduhan

Tangkapan semua suspek dibuat bermula 6 April tahun lalu menerusi Ops Hack yang dijalankan bersama imigresen.

Azzman Abdul Jamal
1 minit bacaan
Kongsi
Bangunan Jabatan Imigresen Malaysia di Putrajaya.
Bangunan Jabatan Imigresen Malaysia di Putrajaya.

Lima suspek yang dipercayai terlibat dalam sindiket penggodaman sistem MyIMMS dan percetakan pas lawatan kerja sementara (PLKS) bakal didakwa menerusi 113 pertuduhan di mahkamah melibatkan RM26.65 juta.

Menurut sumber, lima suspek berusia antara 35 hingga 47 tahun itu akan didakwa di enam mahkamah Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan, Pahang, Terengganu dan Melaka.

Katanya, pertuduhan akan melibatkan aset yang dimiliki hasil wang haram diperoleh daripada kegiatan sindiket seperti wang tunai, jam tangan mewah, kenderaan, tanah dan rumah.

“Sebanyak 113 pertuduhan berkaitan wang sebanyak RM26.65 juta telah dicadangkan terhadap semua ahli sindiket di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Pertuduhan tersebut akan dijalankan sepanjang Mac 2022.”

Pada April tahun lalu, enam individu ditahan kerana disyaki terbabit memasang peranti dan perisian bagi tujuan menggodam Sistem MyIMMs JIM.

Suspek yang ditahan turut melibatkan dua pekerja teknikal syarikat pembekal sistem tersebut.

Kesemua kakitangan yang bersekongkol dengan sindiket tersebut dipercayai turut menerima rasuah sebagai habuan.

Sepanjang penyiasatan yang dijalankan, beberapa komputer JIM yang dilengkapi peranti serta perisian penggodaman turut disita.

Sebelumnya,lima tangkapan turut dibuat terhadap ketua sindiket yang bergelar “Datuk” dan empat anggota sindiket termasuk seorang bekas pegawai JIM.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata sebanyak 147 akaun (milik 30 individu dan 11 syarikat) berjumlah hampir RM10 juta telah dibekukan dan dianggarkan sebanyak 30 unit hartanah berjumlah RM11.9 dan 66 buah kenderaan berjumlah RM13.7 juta telah disita.

Mengulas lanjut, sumber berkata ahli sindiket yang ditahan termasuk pegawai JIM serta kakitangan vendor yang terlibat dengan sistem MyIMMS.

“Lima kertas siasatan telah dibuka bagi menyiasat aset-aset ahli sindiket yang dipercayai diperoleh daripada hasil keuntungan aktiviti percetakan PLKS secara tidak sah,” katanya.

 

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi