- Iklan -
Berita

Pembukaan sempadan ‘impian’ pekerja Malaysia di Singapura

Penutupan sempadan jejas rezeki warga Johor, pendapatan berkurang dengan drastik untuk tampung komitmen.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Muhammad Fauzi Muhammad Toha mengetuai perjalanan bersama rakan-rakannya menuju restoran untuk mengambil pesanan makanan pelanggan.
Muhammad Fauzi Muhammad Toha mengetuai perjalanan bersama rakan-rakannya menuju restoran untuk mengambil pesanan makanan pelanggan.

Selama sembilan tahun, Muhammad Fauzi Muhammad Toha mencari rezeki di Singapura sebagai juruteknik lif.

Bergajikan mata wang republik itu, kehidupannya cukup selesa untuk menampung anggota keluarganya.

Namun sejak permulaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Mac 2020 beserta penutupan sempadan antarabangsa, Fauzi pulang ke kediamannya di Johor Bharu.

Sejak itu, dia tidak dapat kembali ke seberang tambak untuk bekerja.

Pernah mengganggur selama tujuh bulan, dia faham kesukaran mencari kerja.

Dia memohon untuk menjadi penghantar makanan e-hailing dan selepas tiga bulan menunggu, dia berjaya mendapat tempat.

Kini, dia akan keluar bekerja 8 pagi dan pulang selewat 10 malam hampir setiap hari demi mencari rezeki.

“Pendapatan sekarang tidaklah tinggi seperti di Singapura tapi cukuplah untuk menampung keluarga dan membayar komitmen,” katanya kepada MalaysiaNow.

Bapa kepada empat orang anak itu berkata dia memilih untuk pulang ke Malaysia selepas pengumuman penutupan sempadan atas faktor keluarga dan anaknya yang masih kecil.

Tiga anaknya sedang bersekolah dan seorang lagi masih kecil.

“Kalau saya terpaksa tinggal di sini semasa perintah berkurung, syarikat tidak akan bagi apa-apa insentif, kita kena tanggung sendiri 100%.”

Fauzi meletakkan pesanan makanan pelanggan dalam kotak khas sebelum menghantarnya ke lokasi penghantaran.

Fauzi antara 100,000 rakyat Malaysia, khususnya warga Johor yang setiap hari berulang-alik merentas tambak untuk bekerja di Singapura.

Kerajaan Malaysia buat masa ini masih menutup pintu sempadan.

Hanya Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin Malaysia- Singapura (VTL) yang kekal dibuka.

Pembukaan semula sempadan antara perkara yang menjadi topik semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, apabila blok pembangkang mendesak kerajaan berhubung perkara itu.

Ia mula disuarakan oleh Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Muhyiddin Yassin ketika mempengerusikan mesyuarat majlis itu bulan lepas.

Sebelum ini Muhyiddin dilaporkan berkata Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam membuka sempadan, selepas Australia bertindak sedemikian walaupun kadar vaksinasinya ketinggalan di belakang Malaysia.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dalam lawatan kerja ke Thailand baru-baru ini turut menjamin akan membuka sempadan luar negara.

Bukan sahaja bekas pekerja yang mengharapkan pembukaan sempadan, malahan mereka yang masih bekerja di republik itu sehingga hari ni turut mengharapkan tindakan tuntas daripada kerajaan.

Seorang pekerja Malaysia yang masih kekal bekerja di republik itu, Muhammad Syafiq Ahmad, 29, berkata dia memilih untuk menetap di Singapura kerana tahu sukar mencari semula kerja sekiranya berhenti dan pulang ke Malaysia.

“Saya sudah lama tidak pulang sehingga ahli keluarga sudah sakit tenat pun saya tidak berkesempatan untuk balik. Saya ada komitmen untuk dilangsaikan.

“Tetapi sampai hari ini saya masih merancang untuk balik ke Johor,” kata anak jati Muar itu.

Katanya, itu dilema yang dihadapi ramai rakan-rakannya di negara jiran tersebut.

Dia yang bekerja sebagai petugas barisan hadapan di sebuah hospital di Singapura berkata mahu meneruskan kerjaya di republik itu ekoran kadar tukaran wang yang tinggi, namun kerja lumayan bukanlah segala-galanya.

Pada mula penutupan sempadan, dia dan rakan sekerja lain diberikan penempatan oleh kerajaan Singapura untuk tempoh tiga bulan, sebelum diminta mencari rumah sewa.

Sehingga kini, dia masih sibuk menguruskan fasiliti kesihatan dan terlibat dalam kerja-kerja nyahkuman.

Graduan Universiti Malaysia Sarawak itu menjelaskan, dia tidak mahu bekerja di sana sehingga tua.

“Rata-rata anak muda di sini mahu mengumpul duit untuk membuka perniagaan di tanah air. Saya juga begitu, jadi saya harap ada iklim ekonomi yang memberangsangkan di Johor ini kelak.

“Namun ketika ini kami semua harus memendamkan hasrat kerana sempadan masih tutup,” katanya.

Bagi Fauzi yang memasuki usia 40 tahun, setelah dua tahun menumpah keringat sebagai penghantar makanan, dia tidak sabar untuk kembali ke republik itu.

Dia berharap agar kerajaan menyegerakan pembukaan sempadan.

“Saya boleh cari kerja lain mengikut keputusan kerajaan Singapura, memandangkan syarikat lama mungkin tidak akan mengambil saya semula,” katanya.