- Iklan -
Berita

Zahid keluarkan notis tuntutan terhadap Dr M, Muhyiddin

Notis itu menuntut kedua-dua pemimpin itu menghentikan, memadam dan menurunkan penerbitan kenyataan berbaur fitnah terhadap Zahid dalam tempoh seminggu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi telah mengeluarkan notis tuntutan terhadap bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin berhubung tohmahan serta kenyataan yang didakwa berbaur fitnah ke atasnya.

Perkara itu dinyatakan dalam dua kenyataan media oleh Tetuan Shahrul Hamidi dan Haziq, yang mewakili Zahid.

Mahathir didakwa membuat kenyataan terbabit dalam sesi soal jawab selepas pelancaran Aspirasi Pejuang bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Putrajaya pada 23 Februari lepas manakala Muhyiddin dalam ucapannya di Felda Tenggaroh, Johor pada 16 Februari.

Susulan itu, suatu notis tuntutan dikeluarkan serta diserahkan kepada Mahathir dan Muhyiddin masing-masing pada 25 dan 23 Februari secara kendiri selain Pos Berdaftar.

“Sehingga kini, kami masih belum menerima apa-apa jawapan,” menurut firma guaman tersebut dalam kenyataan itu.

Notis itu antaranya menuntut supaya kedua-dua pemimpin menghentikan, memadam dan menurunkan penerbitan kenyataan tersebut dalam tempoh tujuh hari.

Selain itu, ia menuntut suatu permohonan maaf secara bertulis dan terbuka diterbitkan kepada Zahid serta aku janji tidak akan mengulangi kenyataan sama.