- Iklan -
Berita

Gegaran dirasai di Malaysia ketika gempa bumi landa Indonesia

Gempa bumi berukuran 6.2 magnitud yang melanda awal pagi ini tidak memberi ancaman tsunami, kata pihak berkuasa Indonesia.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Penduduk Lembah Klang turut mengalami gegaran ketika gempa bumi melanda Sumatera, Indonesia.
Penduduk Lembah Klang turut mengalami gegaran ketika gempa bumi melanda Sumatera, Indonesia.

Gempa bumi berukuran 6.2 pada skala Richter yang melanda pantai barat Sumatera Indonesia pagi ini, menyebabkan gegaran di beberapa kawasan di Malaysia.

Menurut agensi geofizik Indonesia BMKG, gempa bumi itu berlaku pada pukul 9.39 pagi dengan kedalaman sejauh 10km.

Bagaimanapun, pusat gempa tersebut berada di kawasan darat sekali gus tidak memberikan ancaman tsunami, kata Reuters memetik catatan Twitter BMKG.

Di Lembah Klang, beberapa orang penduduk mengalami gegaran susulan gempa tersebut terutama di bangunan pangsapuri.

Di media sosial, ramai yang mengatakan mereka mengalami gegaran dalam bangunan di Kuala Lumpur.

“Saya terjaga dari tidur kerana saya fikir rakan serumah saya menggoncang katil saya. Kemudian buka Twitter nampaknya ramai yang alami kesan gempa bumi ini,” kata seorang pengguna.

“Adakah seluruh negara hanya bergegar sekejap tadi?,” kata seorang lagi.

Dalam pada itu, seorang lagi berkata dia mengalami gegaran di Seksyen 13, Shah Alam, “sekurang-kurangnya 30 saat”.