- Iklan -
Berita

Cek RM9.5 juta dari Najib kepada Shafee bukan pinjaman, kata saksi

Menurut bekas pegawai LHDN Syed Nasrul Fahmi, wang tersebut adalah bayaran pendahuluan bagi perkhidmatan guaman diberikan Shafee kepada Najib.

Bernama
3 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak dan peguamnya Muhammad Shafee Abdullah. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak dan peguamnya Muhammad Shafee Abdullah. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa dua keping cek bernilai RM9.5 juta yang diterima peguam Muhammad Shafee Abdullah dari Najib Razak bukan satu pinjaman.

Sebaliknya, bekas pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Syed Nasrul Fahmi Syed Mohamad berkata berdasarkan dokumen dan fakta diperoleh semasa siasatan, wang itu adalah bayaran pendahuluan bagi perkhidmatan guaman diberikan Shafee kepada bekas perdana menteri itu.

“Untuk mengatakan ia satu pinjaman adalah satu kesalahan dan boleh menyebabkan ramai akan menukar invois masing-masing kepada pinjaman bagi elak bayar cukai,” katanya.

Saksi pendakwaan ketujuh itu berkata demikian semasa disoal balas peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Shafee pada perbicaraan kes peguam itu yang didakwa menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta dari Najib dan dua pertuduhan membuat penyataan palsu kepada LHDN.

Terdahulu, Harvinderjit merujuk kepada saksi berkenaan surat antara Shafee dan Najib yang menyatakan bahawa bayaran upah guaman hanya akan ditentukan selepas semua kes berkaitan petisyen pilihan raya selesai.

Berdasarkan surat bertarikh 12 September 2013, RM9.5 juta merupakan bil guaman dikenakan oleh firma Shafee & Co, kebanyakannya bagi 46 kes membabitkan petisyen pilihan raya yang Shafee bertindak sebagai peguam bagi pihak Umno dan Barisan Nasional (BN).

Surat itu turut menyatakan Muhammad Shafee memohon Najib untuk mengeluarkan cek bernilai RM4.3 juta atas namanya sebagai pendahuluan atau pinjaman sebelum bil akhir dikeluarkan untuk kegunaan segera tertuduh selain peguam itu turut memohon sekeping lagi cek bernilai RM5.2 juta dikeluarkan bagi tujuan serupa.

Cek berjumlah RM9.5 juta yang dimasukkan ke akaun peribadi Shafee merupakan jumlah selepas potongan bayaran asal RM11.5 juta.

Ditanya Harvinderjit sama ada saksi itu bersetuju bahawa sekiranya wang RM9.5 juta yang diterima Shafee adalah satu pinjaman, ia tidak perlu dilaporkan kepada LHDN sebagai cukai pendapatan, Syed Nasrul menjawab “setuju”.

Berdasarkan pernyataan saksi, Syed Nasrul berkata Shafee gagal melaporkan pendapatan RM9.5 juta yang diterima peguam itu kepada LHDN.

Saksi itu berkata pada ruangan pendapatan tahun kebelakangan yang belum dilaporkan di Borang B Bagi Tahun Taksiran 2013 dan 2014, mendapati Shafee tidak pernah melaporkan pendapatan tersebut.

“Shafee telah ingkar mengemukakan borang tersebut mengikut Seksyen 77 (1) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967. Borang itu lewat dikemukakan iaitu lebih kurang sembilan bulan daripada tarikh 30 Jun 2014 dan beliau hanya melaporkan pendapatan perniagaan sebanyak RM3,173,007 dan membayar cukai sebanyak RM264,720.10 bagi Tahun Taksiran 2013 itu,” katanya.

Syed Nasrul berkata Borang B Tahun Taksiran 2014 pula perlu dikemukakan kepada LHDN pada 30 Jun 2015 dan LHDN menerimanya pada 29 Jun 2015.

“Beliau (Shafee) hanya melaporkan pendapatan perniagaan sebanyak RM3,391,108 dan membayar cukai RM319,959.96 bagi Tahun Taksiran 2014 tersebut,” katanya.

Menurut Syed Nasrul, terdapat peninggalan khusus bagi Tahun Taksiran 2013 berkaitan penerimaan bayaran sebanyak RM9.5 juta dari Najib, dibayar dalam dua cek iaitu RM4.3 juta yang dikeluarkan pada September 2013 dan RM5.2 juta pada Februari 2014.

“Berdasarkan kepada dokumen dikemukakan oleh pembayar cukai (Shafee), penerimaan bayaran RM9.5 juta adalah berkaitan bayaran ke atas perkhidmatannya sebagai peguam kepada pihak UMNO dan BN berhubung 46 kes pilihan raya yang dikendalikan oleh beliau pada 2004 dan 2006,” katanya.

Saksi itu berkata berdasarkan kepada peruntukan perundangan tersebut dan merujuk kepada dokumen berkaitan bayaran RM9.5 juta yang diterima Shafee, ia merupakan suatu pendapatan diterima daripada aktiviti perniagaan dengan memberi perkhidmatan guamannya.

“Pendapatan tersebut adalah tertakluk kepada pengenaan cukai di bawah Seksyen 4 (a) ACP 1967. Pendapatan RM9.5 juta itu adalah terakru pada Tahun Taksiran 2013 dan Tan Sri Shafee telah gagal melaporkan pendapatan tersebut dalam tahun taksiran berkenaan,” katanya.

Shafee didakwa menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek dikeluarkan oleh Najib, yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Shafee didakwa menerima cek RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

Peguam itu juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram, iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung 22 Februari ini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.