- Iklan -
Berita

Generasi ketiga semua kaum Sarawak perlu masuk dalam takrifan ‘peribumi’, kata DAP

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata ia adalah untuk memastikan perlembagaan negeri itu mengangkat prinsip yang inklusif.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen bercakap pada sidang media di Kuching, Sarawak hari ini.
Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen bercakap pada sidang media di Kuching, Sarawak hari ini.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen mencadangkan senarai baru yang akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) memasukkan generasi ketiga daripada mana-mana kaum ke dalam takrifan peribumi negeri itu.

Bercakap pada sidang media di Kuching hari ini, Chong berkata ia adalah demi memastikan perlembagaan negeri tetap mengangkat prinsip yang inklusif.

Beliau turut berkata takrifan perkataan “peribumi” dalam Rang Undang-Undang Tafsiran (Pindaan) 2022 tidak sepatutnya mendiskriminasi atau membeza-bezakan sebarang kaum.

“Cadangan pindaan saya ini juga turut terpakai kepada generasi ketiga Cina, India atau mana-mana kaum – generasi ketiga Sarawak harus dianggap sebagai peribumi negeri.

“Klausa 2 RUU itu perlu dipinda dengan memasukkan perkataan Cina, India atau mana-mana kaum yang tidak disebut di dalam senarai itu dan individu daripada mana-mana kaum yang lahir di Sarawak dan mereka mempunyai ibu bapa kandung atau salah seorang daripadanya lahir di Sarawak,” katanya sambil menambah akan membangkitkan perkara itu dalam perbahasan DUN esok.

Cadangan Chong itu tampil susulan pindaan empat perkara dalam Perlembagaan Persekutuan berkait hak-hak Sabah dan Sarawak di mana semua ahli Parlimen sebulat suara meluluskannya di Dewan Rakyat pada 14 Disember lalu.

Ia juga dijadualkan akan berkuat kuasa pada 11 Februari depan.

Pindaan Perlembagaan itu termasuk senarai negeri-negeri persekutuan dalam Klausa 2 Perkara 1: takrifan persekutuan dan takrifan baru Hari Malaysia dalam Klausa 2 Perkara 160; kaum-kaum peribumi Sarawak dalam Klausa (6)(a) Perkara 161A dan membuang Klausa 7 dalam Perkara 161A.

Sebelum ini, takrifan kumpulan etnik yang dianggap sebagai peribumi Sarawak dalam Perkara 161A Perlembagaan menyenaraikan 28 kumpulan sebagai peribumi negeri itu.

Peribumi Sarawak dianggap sebagai warganegara yang tergolong dalam kumpulan etnik atau etnik campuran yang berasal daripada kumpulan-kumpulan etnik itu secara ekslusif.

Pindaan-pindaan tersebut memberikan kuasa kepada Sarawak untuk memutuskan takrifan “peribumi” atau bumiputera menerusi undang-undang dan perlembagaannya.

RUU baru Sarawak yang mahu meminda Ordinan Tafsiran 2005, adalah antara salah satu dari lima yang akan dibentangkan dalam siding khas DUN Sarawak bermula esok.

RUU baru itu juga akan menggantikan senarai yang ada dalam ordinan itu dengan senarai baru yang akan menambah beberapa lagi kaum yang dianggap sebagai peribumi Sarawak.

Senarai baru itu diletakkan di bawah Seksyen 3 Ordinan Tafsiran (Pindaan) 2022 di mana ia memasukkan 31 kaum yang merupakan peribumi Sarawak termasuk Bidayuh, Dayak Darat, Bukitan, Bisayah, Dusun, Iban atau Dayak Laut, Kadayan, Kelabit, Kayan, Kenyah (termasuk Sabup dan Sipeng), Kajang (termasuk Sekapan, Kejaman, Lahanan, Punan, Tanjong dan Kanowit), Lugat, Lisum, Melayu, Melanau, Murut atau Lun Bawang, Penan, Sian, Tagal, Tabun, Ukit dan mana-mana campuran kaum-kaum ini.

Ia juga akan turut memasukkan seseorang warganegara dan anak kandung daripada ibu bapa yang berasal daripada kaum peribumi Sarawak dan sesiapa yang memenuhi syarat yang diletakkan oleh Kabinet Sarawak bagi pengiktirafan seseorang sebagai peribumi negeri.