- Iklan -
Berita

Singapura bakal gantung seorang lagi warga Malaysia didiagnos IQ rendah

Keluarga Pausi Jefridin di Sabah dan Roslan Bakar diberikan notis seminggu mengenai hari hukuman mati pada 16 Februari.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Suasana Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura. Laluan VTL antara Malaysia-Singapura penuh dengan penumpang sehingga menyukarkan keluarga Jefridin Pausi dan Roslan Bakar di Malaysia untuk mendapatkan tiket ke negara itu. Gambar: Reuters
Suasana Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura. Laluan VTL antara Malaysia-Singapura penuh dengan penumpang sehingga menyukarkan keluarga Jefridin Pausi dan Roslan Bakar di Malaysia untuk mendapatkan tiket ke negara itu. Gambar: Reuters

Seorang rakyat Malaysia yang didiagnosis mempunyai IQ rendah akan menjadi antara dua orang yang akan menjalani hukuman mati pada 16 Februari depan atas sabitan kesalahan dadah di Singapura lebih sedekad lalu, satu lagi tindakan yang akan menarik perhatian kepada republik itu selepas percubaan untuk menjalankan hukuman mati terhadap seorang banduan kurang keupayaan mental sebelum ini mencetuskan kemarahan global.

Keluarga Pausi Jefridin dari Sabah dan warga Singapura Roslan Bakar menyatakan rasa terkejut ketika diberikan notis pada 9 Februari mengenai tarikh hukuman mati.

“Ini dilakukan walaupun keluarga Pausi yang berasal dari Sabah terpaksa tergesa-gesa dalam membuat urusan perjalanan,” kata aktivis gerakan anti-hukuman mati lantang Singapura Kirsten Han.

Han berkata semua tiket di bawah Laluan Perjalanan Vaksinasi Lengkap (VTL) Singapura-Malaysia sudah habis dijual.

“Ini adalah satu kekejaman dan tidak berperikemanusiaan,” tambahnya.

Kedua-dua lelaki itu didakwa menyeludup 96.07g diamorfin dan 76.37g metamfetamin pada 2008 dan disabitkan kesalahan tersebut pada 2010.

Mereka juga gagal dalam rayuan di mahkamah pada 2017 untuk mengubah hukuman mati kepada penjara seumur hidup walaupun peguam memetik laporan berkenaan keupayaan intelek mereka yang boleh menyebabkan pelaksanaan hukuman mati tersebut bercanggah dengan undang-undang Singapura dan perjanjian antarabangsa.

Hakim juga menolak dapatan pakar berkenaan tahap IQ Pausi yang mengatakan beliau mengalami “kerencatan perkembangan minda akibat tahap pendidikannya yang sangat rendah dan terhad”.

Ahli psikologi klinikal Singapura Dr Danny Ng yang membuat penilaian terhadap Pausi turut berkata IQ dimilikinya berada di tahap 67, di bawah nilai ambang 70 yang membolehkan seseorang individu diisytiharkan sebagai OKU mental.

Sementara itu, peguam Roslan berkata, pakar mendapati dia “hanya memiliki kemampuan terhad untuk membuat penilaian dan keputusan ekoran kecacatan kognitif”, menurut penghakiman mahkamah pada 2017 yang dilihat MalaysiaNow.

Walaupun hakim mengakui kedua-dua lelaki itu mempunyai skor rendah bagi tahap IQ mereka, beliau bagaimanapun tetap meneruskan sabitan hukuman mati terhadap mereka.

“IQ yang rendah sahaja bukan bukti minda tidak normal,” kata hakim Choo Han Teck.

“Bagi Seksyen 33B(3), mahkamah tidak boleh mengabaikan berkenaan fungsi minda orang yang kena dakwa. Dalam kes ini, walaupun mereka mempunyai skor yang rendah, kedua-dua pemohon menunjukkan kebolehan dan kefahaman ketika mereka melakukan perbuatan menyeludup dadah,” katanya.

Di bawah Seksyen 33B(3) Akta Penyalahgunaan Dadah Singapura, hukuman mati tidak boleh dijalankan ke atas individu yang menghidap masalah perkembangan akal yang menjejaskan tanggungjawab mental terhadap perbuatan yang mereka dilakukan.

Kes Pausi dan Roslan adalah sama seperti kes Nagaenthran K Dharmalingam, seorang warga Malaysia yang turut didiagnosis mempunyai tahap IQ sebanyak 69, yang dijadualkan menjalani hukuman mati pada November tahun lalu.

Bagaimanapun beliau diberikan penangguhan hukuman selepas didapati positif Covid-19 sebelum mahkamah mendengar rayuan akhir bagi menyelamatkan nyawanya.

Pendengaran kes beliau dipercayai akan ditetapkan bulan ini.

Kes Nagaenthran menimbulkan kemarahan orang ramai, sehingga menyebabkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob turut mengutus surat kepada kerajaan Singapura bagi merayu supaya dia diberikan pengampunan.

Selain itu, taikun syarikat penerbangan Britain Richard Branson juga turut menulis surat terbuka kepada presiden Singapura bagi merayu supaya Nagaenthran tidak dijatuhkan hukuman mati.

Kerajaan Singapura sering mengatakan undang-undang keras berhubung kesalahan dadah adalah bagi mencegah jenayah itu berlaku.

Bagaimanapun, pengkritik berkata ramai dalam kalangan mereka yang disabitkan kesalahan di negara itu terdiri daripada keldai dadah yang berasal daripada keluarga miskin, sementara dalang utama yang mengupah mereka sering terlepas tanpa dihukum, satu pandangan yang turut dikongsi Branson dalam suratnya kepada Presiden Singapura Halimah Yacob.