- Iklan -
Berita

Malaysia ungguli negara Asean lain dalam indeks demokrasi

Bagaimanapun indeks tahunan The Economist itu masih mengekalkan klasifikasi Malaysia sebagai negara yang memiliki “demokrasi pincang”, di mana AS dan beberapa negara lain turut tersenarai.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi

Malaysia diletakkan di kedudukan tinggi dalam kalangan negara Asia dalam kajian tahunan berhubung demokrasi yang dilaksanakan The Economist, majalah kewangan yang berpangkalan di London, namun ia tetap disenaraikan dalam kategori “demokrasi pincang” bersama Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Barat lain yang mengamalkan demokrasi.

Malaysia mengungguli kedudukan tertinggi dalam 10 negara Asia Tenggara dengan skor keseluruhan sebanyak 7.24 dalam Indeks Demokrasi tahunan yang dikeluarkan Economist Intelligece Unit (EIU) yang merupakan unit penyelidikannya.

Malaysia juga turut diletakkan dalam ranking keenam dalam kalangan 28 negara di Asia dan Australisia, berada di bawah New Zealand, Taiwan, Australia, Korea Selatan dan Jepun.

Jirannya Timor-Leste menyusuli Malaysia dengan skor 7.06, diikuti Indonesia (6.71), Filipina (6.62) dan Singapura (6.23).

Secara global, Malaysia berada di tangga ke-39 dari 167 negara di bawah Norway, New Zealand dan Finland sementara Korea Utara, Myanmar dan Afghanistan berada di bawahnya.

Tinjauan ini meletakkan lima kriteria bagi menentukan skor kedudukan negara-negara iaitu: proses pilihan raya dan pluralisme, fungsi kerajaan, penyertaan politik, budaya politik dan kebebasan sivil.

Malaysia juga turut diberikan skor tinggi sebanyak 9.58 bagi proses pilihan raya dan pluralisme, 7.86 bagi fungsi kerajaan, 7.22 bagi penyertaan politik, 6.25 bagi budaya politik, dan 5.29 bagi kebebasan sivil.

Sama seperti sebelum ini, indeks itu mengklasifikasikan sesebuah negara melalui empat kategori: demokrasi penuh, demokrasi pincang, rejim campuran, dan rejim autokrasi.

Ia berkata ketika kurang dari separuh populasi dunia hidup dalam “sesuatu bentuk demokrasi”, hanya 6.4% hidup dalam “demokrasi penuh”.

Malaysia tergolong antara 53 negara dalam kategori “demokrasi pincang”, bersama-sama negara demokrasi utama dunia seperti Amerika Syarikat dan Perancis.

Indeks tersebut mentakrif demokrasi pincang sebagai negara yang mempunyai pilihan raya bebas dan adil selain asas kebebasan sivil dihormati walaupun mempunyai masalah seperti pencabulan kebebasan media.

Ia juga berkata banyak negara diberikan skor rendah kali ini berikutan beberapa sekatan terhadap kebebasan bagi menangani pandemik Covid-19.

Di Asia, katanya, kualiti pentadbiran dijejaskan susulan sekatan berterusan terhadap kebebasan individu akibat pandemik.

“Di beberapa tempat ia juga turut menjejaskan keyakinan awam terhadap institusi dan melemahkan kadar penyertaan dalam politik,” tambahnya.

Dalam kes Malaysia, ia turut memetik pengisytiharan perintah darurat yang dilaksanakan sejak Januari dan Ogos tahun lalu bagi membendung Covid-19.

“Ia menyebabkan penangguhan sidang Parlimen sehingga melewatkan kejatuhan kerajaan yang dipimpin perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin, di mana beliau berdepan undi tidak percaya (di Parlimen),” tambahnya.

Kajian itu turut mendapati standard demokrasi pada 2021 jatuh secara global susulan pandemik yang melanda dunia dan mengatakan wujud peningkatan dalam autoritarianisme, di mana hasilnya, hanya 45% daripada populasi dunia menikmati kehidupan demokrasi.

Bagi AS pula, laporan itu mengatakan wujud “tahap polarisasi yang tegang dalam politik dan budaya ” yang melanda negara itu.

“Pluralisme dan alternatif yang bersaing adalah satu perkara yang perlu dalam demokrasi yang berfungsi, namun perbezaan pendapat di AS menegang dalam kumpulan politik dan institusi,” kata laporan tinjauan itu lagi.