Pada 29 Ogos 2024, majalah The Economist dari London membawa tajuk ini: "Why does the West back the wrong Asian leaders?"
The Economist bertanya, "Mengapa Barat menyokong pemimpin Asia yang salah?"
Tulisnya: Barat silap membaca siapa Anwar Ibrahim. Tetapi itu sepatutnya tidak mengejutkan. Kerajaan Barat sering memperjuangkan tokoh pembangkang Asia yang menjanjikan pendekatan liberal tanpa melihat dengan teliti rekod prestasi mereka, atau kenyataan mereka dalam bahasa vernakular kepada orang ramai di rumah. Dalam kes Anwar, masa beliau sebagai timbalan kepada Mahathir Mohamad — perdana menteri Malaysia yang autoritarian dan anti-Barat dari 1981 hingga 2003 — sepatutnya menjadi petunjuk bagaimana beliau akan memerintah."
Saya wajib menerangkan hantu jenis apa majalah The Economist yang mula diterbitkan pada 1843.
The Economist ialah majalah mingguan yang diterbitkan dalam format majalah bercetak. Hari ini ada portal digital. Ia memberi tumpuan kepada hal ehwal semasa, perniagaan antarabangsa, politik, teknologi dan budaya, dan kebanyakannya ditulis dan disunting di Britain.
Hakikatnya, asal usul majalah berumur 181 tahun ini mewakili kepentingan ekonomi kaum pemodal kapitalis Inggeris.
Bila politik dan ekonomi dunia berubah setelah Perang Dunia Kedua, majalah ini mewakili kepentingan kaum pemodal – para kapitalis Anglo-Amerika.
Saya ulang, The Economist hari ini mewakili kepentingan kaum kapitalis Anglo-Amerika.
Ketika tulisan ini digarap, Amerika Syarikat masih lagi kuasa yang mendominasi dunia kita hari ini. Pesaing seperti China dan Rusia wujud tapi belum berjaya mengubah kuasa hegemoni Amerika.
Amerika menjadi kukuh apabila status dolar dijadikan sebagai mata wang rizab global selepas Perang Dunia Kedua oleh Persidangan Bretton Woods 1944.
Dari sini muncul istilah "Anglo-American imperialism". Istilah ini menunjukkan ada kerjasama kuasa Inggeris dan kuasa Amerika untuk mendominasi dunia.
Mengikut istilah fahaman Marxist, Amerika hari ini ialah negara imperialis. Imperialisme adalah tahap akhir dalam perkembangan ekonomi dalam sistem kapitalis. Bila sampai ke tahap imperialisme, ekonomi kapitalis tidak dapat berkembang lagi. Pelbagai krisis akan timbul. Ekonomi pancit meleset, mata wang kucar-kacir dan negara menuju muflis. Semua membawa potensi perang. Ini yang kita saksikan sedang berlaku di hadapan mata kita hari ini.
Inggeris meninggalkan pentadbiran Tanah Melayu pada 1957 kepada orang pilihan mereka bernama Tunku Abdul Rahman. Untuk sementara waktu, Tanah Melayu di bawah United Malays National Organisation masih setia di bawah hegemon Inggeris.
Pada 1963, Tanah Melayu berubah menjadi Malaysia. Orang pilihan mereka masih memainkan peranannya dengan baik. Tanah jajahan Inggeris di Borneo sempat diselamatkan dari pengaruh Bung Karno dan api gerakan nasionalis Dayak yang mahu merdeka berjaya dipadamkan.
Pasca 1963 Malaysia masih lagi di bawah kuasa hegemon Anglo. Ini terbukti apabila Presiden Amerika Syarikat Lyndon Johnson datang melawat Kuala Lumpur pada 30 Oktober 1966 untuk meminta askar Melayu terlibat sama dalam Perang Vietnam.
Tunku menolak untuk terlibat dalam Perang Vietnam, dan hanya bersetuju untuk menerima program RNR. Program ini membolehkan soldadu Amerika datang bercuti ke Malaysia satelah enam bulan di medan perang.
Program RNR ini pun dikritik keras oleh warga tempatan. Tiba-tiba Pulau Pinang dan Kuala Lumpur melihat pertumbuhan sarang pelacur seperti Bangkok. Akhirnya ia dibatalkan.
Berhadapan dengan Perang Vietnam dan kekalutan ekonomi, Amerika mengambil langkah untuk menyelamatkan diri. Ketika itu kuasa hegemon Amerika sedang dilawan oleh USSR (Soviet Rusia).
Amerika berjaya memperkukuh diri. Pada 1973, sistem petrodollar dicipta melalui perjanjian antara AS dan Arab Saudi. Negara-negara dipaksa bersetuju untuk guna dolar dalam jual beli minyak. Dengan minyak yang diseragamkan dari segi dolar, mana-mana negara yang membeli minyak dari Arab Saudi perlu menggunakan dolar. Petrodolar menyelamatkan Amerika.
Politik dan ekonomi dunia terus berubah. Hegemoni kuasa imperialis Anglo-Amerika hari ini sedang dilawan oleh Rusia dan China.
Kalau dulu Perang Vietnam menggugat dolar dan ekonomi Amerika, hari ini Vietnam digantikan oleh Afghanistan, Ukraine dan Israel. Perang berterusan menjadikan ekonomi Amerika mula merudum.
Ekonomi Amerika menjadi lebih meruncing pada 2006 dengan munculnya kesatuan ekonomi dan politik BRICS – Brazil, Rusia, India dan China. Afrika Selatan masuk pada 2010. BRICS membesar dengan Mesir, Ethiopia, Iran, Arab Saudi dan UAE.
Dolar Amerika diancam oleh mata wang yuan dari China dan rubel dari Rusia.
Pada 30 Julai, Anwar yang juga menteri kewangan mengeluarkan kenyataan untuk menyertai BRICS. Malaysia mengumumkan telah melamar untuk menjadi anggota BRICS.
Pada ketika ini, BRICS telah membuat ketetapan tidak akan menerima secara rambang negara yang melamar, dan memperketatkan keahlian.
Justeru Anwar ketika tulisan ini digarap datang ke Vladivostok, Rusia untuk menyertai Forum Ekonomi Timur yang ke-9.
Anwar bertemu dengan pengerusi BRICS, Vladimir Putin, dan dilapor sedang melamar untuk menjadi anggota BRICS.
Bila ini berlaku, Barat terutama Amerika merasa Anwar budak kolonialnya telah mengencingkan mereka. Apakah Malaysia akan menolak dolar dan menggantikan ringgit dengan yuan atau rubel?
Justeru kepada Wolfowitz dan Al Gore, saya nasihatkan jangan risau sangat tentang Anwar bin Ibrahim yang baru berjumpa Vladimir bin Putin ini. Hakikatnya Budak Kolonial Amerika masih setia.
Justeru The Economist bersuara dan menulis bagaimana Barat telah tersilap baca siapa sebenarnya Anwar bin Ibrahim ini.
Apakah budak kolonial telah belot? Beranikah Anwar kencingkan Amerika?
Dari segi persejarahan saya pernah terbaca tulisan arwah Subky Latiff yang berkata Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang diasaskan Anwar bermula di Jalan Ampang. Ini tulisan memperli Anwar kerana Kedutaan Amerika terletak di Jalan Ampang.
Anwar ini memang sering ditulis dan dibaca oleh pemerhati dan penganalisa politik di Malaysia sebagai budak kolonial Amerika.
Ini sahih dibuktikan apabila Amerika terus menyokong Anwar ketika dalam penjara atas sabitan liwat (kes pertama dan kedua).
Pada 1998, Al Gore, naib presiden Amerika, mengutuk Malaysia kerana memenjarakan Anwar. Kutukan ini dibuat di Kuala Lumpur ketika persidangan Apec.
Ia ketika gerakan reformasi sedang membara. Kenyataan Al Gore ini agak kurang ajar dan kurang diplomasi. Tapi Amerika marah kerana budak kolonial mereka telah dipenjarakan.
Ketika Al Gore mengutuk kerajaan Malaysia, kuasa imperialis Anglo-Amerika mahu Mahathir diundurkan. Maka projek "regime change" pun berjalan.
Mahathir dilihat dibaca sebagai pemimpin dunia ketiga yang berani menyuarakan nadi dan harapan negara dunia ketiga.
Mahathir lantang mengkritik Amerika. Justeru Amerika menganggap Mahathir merbahaya. Justeru Anwar wajib terus didukung dan dinobatkan sebagai pengganti Mahathir.
Peranan Anwar sebagai budak kolonial Amerika ini disah dan dibuktikan dengan apa yang kita lihat, baca dan dengar melalui jaringan media pro pemodal Anglo-Amerika. Amerika terus bersuara menyokong Anwar.
Sosok seperti Robert Rubin dan Paul Wolfowitz, selain Al Gore, adalah penyokong ketat Anwar. Wolfowitz, bekas duta Amerika ke Indonesia, sahabat intim Anwar. Beliau menjawat setiausaha pertahanan dan juga presiden Bank Dunia.
Anwar sendiri pernah menjadi penasihat IMF – International Monetery Fund, ketika menjadi menteri kewangan dalam kabinet Mahathir.
Melalui pengaruh Wolfowitz, Anwar selepas keluar dari penjara dapat menjadi tenaga akademik di John Hopkins University walaupun hanya dengan kelulusan Pengajian Melayu.
Beberapa teori salah mengenai Anwar
Wajib saya umumkan di sini, nama-nama gedeber Amerika yang ditulis ini adalah dari kumpulan neo-konservatif. Malah Wolfowitz adalah arkitek Perang Iraq.
Lalu saya bertanya, apakah perasaan Wolfowitz melihat gambar Anwar bersalaman dengan Putin, apakah dia merasa telah kena kencing oleh Anwar?
Apakah Al Gore menyesal kerana dulu menyokong Anwar?
Untuk ini, saya ada pendapat. Pandangan lain untuk mengenali siapa Anwar Ibrahim ini.
Anwar Ibrahim untuk saya tidak memilik apa-apa pandangan dunia yang kukuh. Anwar tidak memiliki ideologi. Awalnya Anwar dibaca oleh Amerika sebagai penganut Islam radikal. Tetapi akhirnya Amerika sedar Islam yang dianuti oleh Anwar hanya alat sahaja.
Anwar dituduh sebagai penganut faham liberal oleh musuh politik. Ini tidak betul. Ini satu tohmahan.
Penganut fahaman liberal tidak akan menggunakan Akta Hasutan 1948 untuk melawan musuh politik. Tidak akan menangkap sosok yang mengkritik kerajaan, atau menutup ratusan akaun TikTok yang isinya menganjing Madani jadi Madanon. Kebebasan bersuara adalah rukun iman kaum liberal.
Anwar dituduh sebagai sekular. Ini juga tidak betul. Minggu lalu Anwar memperkukuhkan Jakim dalam pentadbiran negara. Anwar hari ini mahu dilihat lebih Islam daripada Islam PAS. Anwar mahu Melayu Islam menyokong dia.
Anwar dituduh penyokong LGBT. Ini juga tidak betul. Anwar walaupun dibuktikan meliwat dalam mahkamah, Anwar masih menuduh dia difitnah. Kes liwat mengikut Anwar adalah satu konspirasi politik.
Jadi siapa Anwar Ibrahim ini?
Fahaman whateverisma
Untuk saya Anwar penganut fahaman yang saya namakan sebagai whateverisma – penganut fahaman apasaje. Sosok yang menganuti faham ini boleh menjadi pelbagai bentuk.
Anwar di hadapan tok mufti akan melebong tentang Qaradawi. Di hadapan kumpulan mat todi Anwar meloncat menghambur sambil menyanyi lagu filem Sangam. Di hadapan para pemikir dan intelektual dia memetik kata-kata Gabriel dan Fanon. Di hadapan media dunia, Anwar melebong dan cuba menyamakan dirinya dengan Mandela.
Lebong whateverisma ini digunakan juga dalam urusan politik. Ini kita saksikan dari apa yang telah berlaku dalam PKR. Perpecahan PKR ini adalah hasil whateverisma.
Ketika Anwar dalam penjara, PKR berjalan dengan tenang, baik, tersusun dan teratur. Bila saja Anwar dibebaskan, maka PKR mula bergelawak satu sama lain.
Kepada Azmin Ali, Anwar cakap ini; kepada Ezam Nor, Anwar cakap itu. Kepada Syed Husin Ali, Anwar cakap kita lawan, kepada Chandra Muzaffar, Anwar cakap jangan lawan. Kepada Tian Chua, Anwar cakap ini, kepada William Leong Anwar cakap itu. Kepada Saifuddin Nasution, Anwar cakap "lu ini sosok setia"; kepada Rafizi, Anwar cakap "lu ini amat bijak".
Kepada parti politik lain pun, modus operandi sama digunakan Anwar. Kepada Mat Sabu, Anwar cakap lawan. Kepada Mujahid Yusof Rawa, Anwar cakap kawan. Kepada Anthony Loke, Anwar cakap kita buat; kepada Lim Guan Eng, Anwar cakap kita batal.
Kepada kaum pemodal dan kapitalis tempatan, whateverisma digunakan juga. Kepada Vincent Tan, Anwar kata sokong peniaga Cina. Kepada Syed Mokhtar, Anwar mahu Bumiputera wajib didahulukan.
Jangan lupa dengan geng Abim lama. Kepada Abdul Hadi Awang, Anwar cakap halal. Kepada Ismail Mina, Anwar cakap haram.
Ini ciri yang hakiki whateverisma yang dianuti oleh Anwar. Bercakap berdolak dalik atau "klu klak" kata orang Terengganu.
Bukti dolak dalik melebong ini bersepah-sepah dalam YouTube. Ini bukan lebong atau penglipur lara dari Hishamuddin Rais.
Janji-janji Anwar mahu menurunkan harga minyak, janji nak lawan rasuah, janji tangkap Azam Baki, janji hapuskan tol – semua ini masih boleh ditonton dalam YouTube. Saya ulang, semua boleh ditonton dalam YouTube.
Dalam politik luar negara, whateverisma ini terus diguna pakai. Kepada Narendra Modi, Anwar minta maaf hal Kashmir. Bila berjumpa PM Pakistan Shehbaz Sharif, Anwar kata lain pula.
Kepada Ismail Haniyeh, Anwar kata Malaysia sokong Hamas. Kepada Larry Fink, Anwar kata Malaysia akan jual saham pengurusan 39 buah lapangan terbang Malaysia kepada BlackRock dengan kontrak selama 46 tahun.
Di Istanbul, Anwar cakap lain kepada Erdogan. Di Riyadh, Anwar cakap lain pula kepada Mohammed bin Salman. Di Beijing, Anwar kata "No Dollar" kepada Xi Jinping. Di Washington, Anwar kata "No Yuan" kepada Joe Biden.
Justeru kepada Wolfowitz dan Al Gore, saya nasihatkan jangan risau sangat tentang Anwar bin Ibrahim yang baru berjumpa Vladimir bin Putin ini. Hakikatnya Budak Kolonial Amerika masih setia.
Percaya dan yakinlah cakap Hishamuddin Rais ini. Nanti apabila Anwar sampai ke Washington, cakapnya akan lain.
Jika kurang yakin dengan apa yang saya tulis ini, sila minta pengarang majalah The Economist talipon Anwar. Minta buat temu bual dengan Anwar, dan berjanji muka Anwar akan jadi hiasan muka depan.
Dalam temu bual itu nanti, pasti akan terserlah kesetiaan budak kolonial Amerika ini. Anwar akan mengutuk Putin kerana menyerang Ukraine. Anwar akan berkata keselamatan Israel wajib dijaga kepada Wolfowitz.
Budak Kolonial Amerika tidak belot.
Atau sebenarnya, Hishamuddin Rais silap besar. Tulisan The Economist ini adalah tanda dan signal "regime change" sama seperti tulisan The New York Times tentang Najib Razak.
Atau tulisan The Economist ini akan menjadikan Anwar bertambah setia sebagai budak kolonial Amerika.
Wallahu alam bi sawab.