Bersatu Johor kenal pasti pengganti Muhyiddin di DUN Gambir
Muhyiddin telah meminta agar kepimpinan Bersatu Ledang menyerahkan senarai calon yang berkelayakan kepadanya.
Terkini
Bersatu telah mengenal pasti calon yang berkelayakan untuk bertanding bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua Penerangan Bersatu Negeri Johor Mohd Solihan Badri berkata calon itu akan menggantikan Muhyiddin Yassin, yang mungkin tidak akan mempertahankan kerusi itu.
Beliau yang juga ketua Bahagian Bersatu Ledang berkata Muhyiddin telah meminta agar kepimpinan Bersatu Ledang, menyerahkan senarai calon yang berkelayakan kepadanya.
“Justeru saya sebagai ketua Bersatu Ledang telah mengenal pasti calon yang sesuai untuk menggantikan Muhyiddin di DUN Gambir, kerana calon ini mempunyai kelayakan selain mendapat sokongan dan diterima akar umbi,” katanya menerusi sebuah kenyataan.
Semalam, Muhyiddin yang merupakan Presiden Bersatu memaklumkan bahawa beliau mungkin tidak akan mempertahankan kerusi DUN Gambir yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada PRN Johor.
Beliau yang juga pengerusi Perikatan Nasional berkata langkah itu diambil bagi menumpukan sepenuh masa kepada soal yang lebih utama di peringkat Parlimen dan pusat serta mengurus hal-hal berkaitan parti.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
