- Iklan -
Berita

Singapura mahu keputusan kecualikan junta Myanmar dalam Asean dikekalkan

Pandangan itu dinyatakan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong kepada rakan sejawatannya dari Kemboja, Hun Sen dalam satu pertemuan menerusi sidang video.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong. Gambar: AP
Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong. Gambar: AP

Asean harus mengekalkan keputusan yang dicapai pada Sidang Kemuncak Asean ke-38 dan ke-39 untuk hanya menjemput wakil bukan politik dari Myanmar ke mesyuarat-mesyuaratnya  sehingga terdapat kemajuan ketara dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara.

Pandangan itu dinyatakan oleh Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong kepada rakan sejawatannya dari Kemboja, Hun Sen dalam satu pertemuan menerusi sidang video pada 14 Januari 2022, menurut kementerian luar (MFA) republik itu.

Semasa sesi itu, MFA berkata Hun Sen menjelaskan kepada Lee berhubung keutamaan dan agenda Pengerusi Asean Kemboja untuk 2022.

Menurut kenyataan itu, Lee menyebut tiada sebarang kemajuan ketara dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara Asean sejak diterima pada 24 April 2021, semasa mesyuarat di Sekretariat Asean di Jakarta antara pemimpin Asean dan Jeneral Min Aung Hlaing.

“Sebarang perbincangan untuk menyemak semula keputusan pemimpin Asean perlu berdasarkan fakta baru,” kata kenyataan itu.

MFA berkata Lee menekankan keperluan bagi pengerusi Asena itu untuk melibatkan semua pihak yang berkenaan, termasuk Tatmadaw (tentera Myanmar) dan Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD).

“Tatmadaw mencadangkan gencatan senjata dengan Pertubuhan Bersenjata Etnik (EAO) sahaja, sedangkan Konsensus Lima Perkara turut merujuk kepada penamatan keganasan terutamanya terhadap lawan politik Tatmadaw dan orang awam ,” kata kenyataan itu.

Menurut MFA lagi Lee menyatakan hanya beberapa hari selepas lawatan Hun Sen, berlaku lagi serangan oleh Tatmadaw terhadap lawan politiknya, dan hukuman penjara tambahan dikenakan ke atas Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi.

Kenyataan itu menyebut Lee tidak pasti peranan yang boleh dimainkan oleh Asean atau duta khas pengerusi Asean ke Myanmar dalam menyelaras gencatan senjata kerana tiada akses kepada semua pihak.

Menurut Lee, terdapat keperluan untuk kemajuan dalam penyampaian bantuan kemanusiaan menerusi penglibatan Pusat Penyelarasan Asean mengenai pengurusan bencana dengan kerjasama Tatmadaw.

Lee bersetuju bahawa cadangan yang dibangkitkan oleh pengerusi Asean itu perlu dibincangkan dengan lebih lanjut dalam kalangan menteri luar dan pegawai kanan Asena dan berharap Kemboja akan mempertimbangkan pandangannya dan pandangan Pemimpin Asean yang lain.

Beliau menegaskan komitmen Singapura untuk bekerjasama dengan Kemboja dan negara anggota Asean yang lain dalam pelaksanaan penuh Konsensus Lima Perkara Asean dan keputusan Asean yang berkaitan.

MFA berkata Lee juga menegaskan sokongan republik itu terhadap Kemboja selaku pengerusi Asean dan berterima kasih kepada Perdana Menteri Hun Sen atas taklimat mengenai lawatannya ke Myanmar baru-baru ini.