- Iklan -
Berita

Sosialit Britain bersalah rekrut, antun seksual gadis untuk didera Epstein

Juri sebulat suara menetapkan Ghislaine Maxwell bersalah bagi lima dari enam pertuduhan yang dihadapinya.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Sosialit Ghislaine Maxwell yang merupakan teman rapat mendiang Jeffrey Epstein disabitkan kesalahan seksual pada 29 Disember termasuk pemerdagangan gadis bawah umur. Gambar: AFP
Sosialit Ghislaine Maxwell yang merupakan teman rapat mendiang Jeffrey Epstein disabitkan kesalahan seksual pada 29 Disember termasuk pemerdagangan gadis bawah umur. Gambar: AFP

Sosialit Britain Ghislaine Maxwell didapati bersalah pada Rabu kerana merekrut dan antun seksual gadis untuk didera secara seksual oleh pengurus dana Amerika Syarikat (AS) Jeffrey Epstein.

Maxwell berdepan hukuman penjara seumur hidup selepas 12 orang juri mendapati wanita itu bersalah bagi lima dari enam pertuduhan termasuk pemerdagangan gadis bawah umur.

Dia dilihat tenang meneguk air ketika mendengar hakim Alison Nathan membacakan keputusan yang dicapai selepas lima hari penuh pertimbangan juri di bilik mahkamah Manhattan, New York.

Peguam Maxwell, Bobbi Sternheim berkata pasukannya sudah pun mengemukakan rayuan.

“Kami yakin Ghislaine tidak bersalah. Kami sangat kecewa dengan keputusan itu.

“Kami juga sudah membuat rayuan terhadap keputusan hari ini,” katanya kepada pemberita di luar mahkamah.

Dengan keputusan itu, Ghislaine berpotensi menghabiskan sisa hidupnya di penjara.

Beliau bagaimanapun tetap ditahan di Pusat Tahanan Metropolitan di Brooklyn kerana berisiko melarikan diri.

Bagi kes pemerdagangan seks kanak-kanak bawah umur, hukuman maksimum dikenakan penjara 40 tahun.

Hukuman yang lebih rendah pula mengenakan penjara antara tempoh lima atau 10 tahun.

Maxwell didapati tidak bersalah atas satu pertuduhan – memikat seorang kanak-kanak di bawah umur untuk melakukan perbuatan seksual.

Tiada tarikh ditetapkan untuk hukumannya.

Peguam AS, Damian Williams menyambut baik keputusan tersebut.

“Juri sebulat suara mendapati Ghislaine Maxwell bersalah atas salah satu jenayah paling teruk yang tidak boleh dibayangkan – memudahkan dan mengambil bahagian dalam penderaan seksual kanak-kanak.

“Jalan menuju keadilan terlalu panjang. Namun hari ini keadilan telah dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tuduhan terhadap Maxwell bermula sejak 1994 hingga 2004.

Maxwell yang terkenal sebagai seorang sosialit berpendidikan Oxford, dan merupakan anak perempuan taikun media Britain, mendiang Robert Maxwell dibesarkan dalam kekayaan dan rakan keluarga diraja Britain termasuk Putera Andrew.

Dua mangsa Epstein berkata mereka berusia seawal 14 tahun ketika Maxwell mengatur agar mereka mengurut Epstein yang berakhir dengan aktiviti seksual.

Seorang mangsa hanya dikenali sebagai Jane memperincikan cara Maxwell merekrutnya di kem musim panas dan membuatnya berasa “istimewa”.

Jane mengatakan perlakuan seksual itu menjadi rutin dan kadangkala turut disertai Maxwell.

Seorang lagi mangsa dikenali sebagai Carolyn, berkata beliau dibayar AS$300 selepas melakukan hubungan seksual dengan Epstein yang diaturkan oleh Maxwell.

Mangsa ketiga Epstein adalah Annie Farmer yang kini berusia 42 tahun. Dia mengatakan Maxwell membelai payudaranya ketika dia masih remaja di ladang New Mexico milik Epstein.

Epstein, 66, membunuh diri di penjara pada 2019 sementara menunggu perbicaraan kes jenayah seksual yang dihadapinya.