- Iklan -
Berita

Memastikan wang sumbangan banjir diagih kepada mangsa bencana

Walaupun ramai yang teruja untuk membantu, namun kebimbangan timbul berhubung ketelusan dalam pengurusan wang derma dan sumbangan kepada mangsa.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Mangsa banjir, Zariah Yeop Shamsuddin bersama suaminya, Ramli Ahmad dan saudara-mara lain melakukan kerja-kerja mengemas, mereka kini terpaksa bermalam di dalam khemah semenjak dua minggu lalu setelah rumah yang didiami musnah akibat banjir di Jalan Sungai Lui, Hulu Langat.
Mangsa banjir, Zariah Yeop Shamsuddin bersama suaminya, Ramli Ahmad dan saudara-mara lain melakukan kerja-kerja mengemas, mereka kini terpaksa bermalam di dalam khemah semenjak dua minggu lalu setelah rumah yang didiami musnah akibat banjir di Jalan Sungai Lui, Hulu Langat.

Bencana banjir besar yang menyebabkan bandar-bandar besar di Lembah Klang lumpuh baru-baru ini menyaksikan pelbagai parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang memungut derma bagi menyumbang kepada mangsa bencana alam itu.

Namun, persoalan timbul berhubung ketelusan dan bagaimana sumbangan itu dibelanjakan.

Malcolm Chapman yang merupakan pengarah eksekutif salah satu organisasi bantuan antarabangsa Mercy Malaysia bersetuju terdapat kebimbangan mengenai perkara itu, terutama ketika penggunaan media sosial yang meningkat dan dakwaan yang sering dibuat pengguna internet.

Beliau berkata, kebimbangan itu kebiasaannya disebabkan orang ramai ingin pastikan wang yang mereka sumbangkan digunakan untuk tujuan yang betul dan bukannya untuk kegunaan peribadi.

Oleh itu, Chapman menegaskan amat penting supaya organisasi yang mengutip derma daripada masyarakat untuk menunjukkan laporan rangka kerja yang jelas sebagai bukti perbelanjaan menggunakan duit tersebut.

“Bagi memastikan ketelusan dan menangani kebimbangan ini, kami keluarkan laporan rangka kerja yang menyeluruh dan ia disiarkan menerusi laman sesawang Mercy Malaysia,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Malah, laporan ini juga akan diaudit oleh firma pengauditan pihak ketiga yang akan memberi pandangan secara telus dan adil mengenai apa yang kami lakukan.”

Sejak 18 Disember, Malaysia dilanda banjir besar dengan lapan negeri dilaporkan terjejas teruk apabila kediaman penduduk dan bebereapa lebuh raya yang menghubungkan daerah dan negeri ditenggelami air.

Kejadian ini disifatkan sebagai antara bencana terburuk yang pernah melanda negara apabila ia dilaporkan meragut lebih 40 nyawa, malah ribuan rakyat turut mengalami kerugian mencecah puluhan ribu hingga ratusan ribu ringgit.

MalaysiaNow baru-baru ini melaporkan bagaimana terdapat sebahagian yang memungut derma mencurigakan yang melanggar Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

MalaysiaNow masih menunggu maklumbalas dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sama ada mereka sudah menerima laporan berhubung penyelewengan dana bantuan banjir.

Menurut Chapman, sumbangan wang derma sememangnya akan membantu memudahkan pelaksanaan misi bantuan bencana, bagaimanapun, amat penting untuk organisasi melakukan penilaian di lapangan terlebih dahulu.

Katanya, ia bagi menentukan kos perbelanjaan dan jumlah wang yang diperlukan untuk melaksanakan misi kemanusiaan itu.

“Selepas melakukan penilaian, akan terhasil angka kewangan yang kami perlukan.

“Contohnya, pada penilaian peringkat awal semasa berlakunya banjir besar di Malaysia, kami sasarkan minimum kutipan RM5 juta untuk menjalankan pelbagai program bantuan,” katanya dan menambah dianggarkan seramai 1,000 sukarelawan di bawah Mercy Malaysia dikerahkan untuk membantu mangsa banjir di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Chapman berkata, pihaknya turut melakukan penilaian jangka sederhana dan panjang untuk pastikan mangsa banjir mendapat bantuan sehingga masalah mereka selesai.

“Penilaian jangka pendek banyak menumpukan kepada pemulihan seperti kebersihan dan bekalan air bersih manakala jangka panjang pula tertumpu kepada usaha memastikan masyarakat lebih bersedia untuk berdepan dengan kejadian bencana pada masa hadapan.

“Pastinya dalam usaha memastikan rancangan ini dapat direalisasikan, ia memerlukan duit. Malah, kami juga mempunyai sasaran kutipan derma bagi tujuan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Chapman menasihatkan orang ramai supaya lebih arif untuk ketahui jenis-jenis keperluan bantuan dan kosnya apabila berlaku bencana bagi memastikan duit yang ingin diderma dilakukan menerusi saluran yang betul.

“Kita perlu memahami organisasi yang kumpul duit itu dan sentiasa melihat struktur laporan yang mereka ada ketika mengumpulkan dana tersebut,” katanya.