- Iklan -
Berita

Penipu, pengutip derma licik, dan budaya pengenyahan berleluasa ketika ahli politik guna media sosial selepas banjir

Ketelusan menjadi persoalan dalam isu kutipan derma bencana kerana sering pengurusan dana yang dikumpul badan NGO dan individu tidak didedahkan kepada orang ramai.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Mangsa banjir di Klang, Selangor dipindahkan ke PPS  Sekolah Rendah Agama Kampung Delek. Pelbagai NGO dan individu dilihat turun padang bagi membantu mangsa banjir baru-baru ini.
Mangsa banjir di Klang, Selangor dipindahkan ke PPS Sekolah Rendah Agama Kampung Delek. Pelbagai NGO dan individu dilihat turun padang bagi membantu mangsa banjir baru-baru ini.

Kerja-kerja kebajikan dan bantuan kumpulan atau individu ikhlas mungkin diancam dan dikaburi penipuan kutipan derma, NGO mencurigakan dan pengubahan wang haram ketika pengguna media sosial berkait politik mula menggunakan slogan dan tanda pagar sebagai budaya pengenyahan (cancel culture) bagi membentuk pendapat awam selepas bencana banjir yang menyebabkan beberapa kawasan di Lembah Klang ditenggelami air.

Semakan MalaysiaNow mendapati ketika ahli politik secara beramai-ramai menyerang musuh dengan dakwaan gagal menguruskan banjir, sebahagian juga turut berada di sebalik usaha memungut derma mencurigakan yang melanggar Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

“Mereka biasanya akan umumkan kejayaan mengutip derma yang banyak daripada orang awam, tetapi tiada langsung bukti yang menyokong dakwaan mereka itu,” kata seorang aktivis veteran NGO yang mempunyai pengalaman luas dalam menangani mangsa banjir.

Bercakap dengan syarat tidak dinamakan disebabkan apa yang dikatakannya sebagai “budaya pengenyahan” secara besar-besaran dalam ruang siber di Malaysia, aktivis itu memberikan amaran bencana alam dan kesukaran dihadapi orang ramai adalah ruang yang sangat sesuai dan menjadi pilihan ahli perniagaan dan ahli politik jahat bagi melakukan pengubahan wang haram.

“Mereka berikan wang tunai jutaan ringgit kepada NGO yang ditubuhkan atau kawan-kawan politik mereka, yang kemudian akan mengumumkan jumlah derma yang diterima daripada orang awam.

“Ia bukan sahaja modus operandi sepanjang bencana alam bahkan ia menjadi taktik yang digunakan sebelum ini oleh badan pemikir tertentu yang menjalankan tinjauan pendapat dengan sokongan ratusan sukarelawan dan derma yang dikatakan diterima daripada orang awam,” tambahnya.

Ahli politik kerajaan baik di peringkat persekutuan mahupun negeri menjadi sasaran kecaman orang ramai berikutan tanggapan gagal menggerakkan usaha pemindahan dan menyelamat mangsa di Selangor yang terjejas banjir.

Hujan lebat pada 18 Disember menyebabkan beberapa kawasan utama Shah Alam, Klang dan Hulu Langat ditenggelami air banjir.

Pelabuhan Klang, Batu Tiga dan Taman Sri Muda adalah antara kawasan yang paling teruk terjejas sehingga menyebabkan kehilangan nyawa selain ribuan penduduk terpaksa dipindahkan.

Salah menyalahkan bermula apabila ahli-ahli politik dari kerajaan negeri Selangor menuding jari kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berhubung respons mereka terhadap banjir.

Ia disusuli dengan tentera siber politik yang menghalakan serangan terhadap sasaran tertentu dan memuji tuan politik mereka dengan memenuhkan media sosial dengan gambar-gambar ahli politik meredah banjir.

Semakan juga menunjukkan budaya pengenyahan digunakan untuk memperkecilkan beberapa individu daripada pandangan awam berleluasa sejak minggu lalu melalui tentera siber dan penyokong ahli-ahli politik.

Kebanyakan hantaran di media sosial itu juga turut dipenuhi dengan kata-kata dan imej kesat, ia kemudiannya diciap berulang kali di Twitter oleh akaun-akaun pengguna yang dilihat baru dibuat.

Semakan turut mendapati kebanyakan akaun yang menggunakan tanda pagar seperti #kerajaanbangsat yang menjadi trend di Twitter minggu lalu mungkin palsu, menggunakan gambar profil yang boleh dipertikaikan selain pengikut-pengikutnya juga meragukan.

“Apa yang lebih teruk lagi, mereka menggunakan tanda pagar seperti #kitajagakita atau #rakyatjagarakyat dengan cara yang tidak jujur, terutamanya selepas mengutip dana awam dan bergaya untuk ambil gambar,” kata aktivis itu lagi.

Seorang ahli politik Amanah yang dikecam kerana dilihat berada di pusat peranginan bersalji di luar negara ketika banjir, beliau kemudiannya pulang ke tanah air dan dilihat menyelar pihak berkuasa dalam sebuah temu bual di sebuah pusat bantuan yang dijalankan oleh sukarelawan.

Namun sebuah sebuah video lain yang tular menunjukkan sukarelawan di pusat pengagihan bantuan itu menjarakkan diri dari Hasanuddin Yunus, mengatakan ahli Parlimen Hulu Langat itu tidak mempunyai kaitan dengan mereka selain mendakwa ahli politik itu menunggang kerja orang lain.

Seorang lagi ahli politik, Rina Harun juga turut menjadi mangsa budaya pengenyahan media sosial, termasuk dari ahli politik terkenal yang mempersoalkan status perkahwinannya.

Tiada audit, ketelusan

Namun, isu yang lebih besar daripada emosi dan kemarahan dalam talian berhubung pengurusan banjir adalah mengenai ketelusan kumpulan dan individu yang terlibat dan mendakwa mengutip jutaan ringgit derma daripada orang ramai bagi membantu mangsa banjir.

MalaysiaNow dapat mengesahkan sebahagian kumpulan yang mengutip derma daripada orang ramai itu mempunyai latar belakang yang mencurigakan, dengan kebanyakannya berkait dengan beberapa ahli politik selain parti politik baru yang mahu mengambil peluang daripada banjir ini untuk meningkatkan bilangan keahliannya.

Salah satu kumpulan itu diketuai oleh seorang individu yang baru-baru ini memimpin kempen melawan program vaksinasi Covid-19 kebangsaan kerajaan.

Semakan menunjukkan individu anti vaksin itu mengutip lebih dari RM70,000 untuk disalurkan kepada mangsa banjir menggunakan sebuah aplikasi telefon untuk mengumpul dana dari orang ramai selain untuk berhubung dengan sukarelawan.

“Tetapi tiada cara untuk tahu bagaimana wang itu diurus. Ada satu lohong hitam kewangan, di mana watak-watak yang dipertikaikan ini secara licik mengelakkan dari audit dan pihak berkuasa,” kata aktivis itu lagi.