- Iklan -
Berita

Penganalisis jangka pemilihan Umno akan datang ‘meriah’ dengan pertandingan

Mereka menjangkakan persaingan sengit antara pimpinan bakal berlaku bagi merebut dua jawatan tertinggi parti itu.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Logo Umno di Persidangan Umno 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra. Persaingan antara pimpinan Umno dijangka bakal berlaku bagi merebut jawatan presiden dan timbalan parti dalam Perhimpunan Agung Umno 2021.
Logo Umno di Persidangan Umno 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra. Persaingan antara pimpinan Umno dijangka bakal berlaku bagi merebut jawatan presiden dan timbalan parti dalam Perhimpunan Agung Umno 2021.

Pemilihan Umno yang seterusnya dijangka meriah apabila ramai dalam kalangan pemimpin “heavyweight” dijangka bertanding merebut jawatan presiden dan timbalan presiden, kata penganalisis.

Mereka tidak menolak kemungkinan bahawa Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob akan mencalonkan dirinya bagi jawatan presiden memandangkan popularitinya dilihat melonjak dalam kalangan akar umbi selepas menjadi perdana menteri.

Penganalisis politik dari USM, Ahmad Atory Hussain bagaimanapun berkata jawatan sebagai perdana menteri bukanlah penentu untuk Ismail dipilih sebagai presiden Umno memandangkan terdapat beberapa pencabar yang dijangka memberi persaingan sengit.

Menurut Atory, antara nama lain yang dijangka akan tampil merebut jawatan presiden termasuklah Khairy Jamaluddin dan Mohamad Hasan yang merupakan timbalan presiden Umno.

“Sudah tentu naib presiden dan ahli majlis tertinggi atau ‘orang lama’ mempunyai impian jadi presiden,” katanya kepada MalaysiaNow dan menambah empat individu tersebut mempunyai kelebihan masing-masing untuk meraih sokongan akar umbi.

“Ismail Sabri adalah perdana menteri, manakala Tok Mat (Mohamad) merupakan timbalan presiden parti.

“Hishamuddin pula terkenal dalam kalangan pemimpin luar negara dan Khairy mempunyai sokongan kukuh dari golongan muda.”

Beliau berkata tidak mungkin bekas Najib Razak akan kembali menjadi presiden Umno atau perdana menteri dalam jangkamasa terdekat.

“Bagaimanapun, susah untuk ramal mengenai Ahmad Zahid Hamidi memandangkan pendakwaan kes di mahkamah masih berjalan,” tambah beliau.

Pada Rabu, Mahkamah Rayuan sebulat suara mengekalkan sabitan salah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International selepas menolak rayuan bekas perdana menteri itu.

Namun begitu, Zahid yang juga presiden Umno pula berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah jenayah, lapan bagi rasuah dan 27 abgi pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik wang Yayasan Akalbudi.

Sementara penganalisis politik dari UiTM, Ismail Sualman, berkata belum tiba masa untuk singkirkan nama Zahid memandangkan mahkamah belum sabitkan kesalahan terhadap beliau.

Katanya, Zahid masih mempunyai “aura” dalam Umno, namun dia dilihat kurang popular berbanding pemimpin lain kerana tidak memegang jawatan Kabinet.

“Selagi tidak bersalah dia masih presiden. Itu adalah hakikat dan ahli termasuk pemimpin Umno juga masih hormat Zahid sebagai presiden,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Melihat kepada prestasi Umno di bawah pimpinan beliau, Umno raih kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, Rantau serta Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan Melaka, justeru prestasinya masih dilihat baik.”

Beliau berkata adalah lebih baik supaya Umno supaya tidak mengamalkan tradisi lama dan membuka peluang kepada calon lain bertanding jawatan presiden dan timbalan presiden.

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, Umno kebiasaannya tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden selepas perpecahan besar yang berlaku pada penghujung 1980-an apabila Dr Mahathir Mohamad dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

Pada pemilihan Umno 2018, Zahid dipilih sebagai presiden selepas menewaskan empat pesaing termasuk dua nama besar iaitu Khairy serta veteran Umno, Razaleigh.

“Zaman ‘cai’ sudah berakhir. Dulu ahli perlu ikut giliran, sekarang semua orang boleh bertanding,” katanya.

“Justeru, bertanding jawatan dalam parti adalah hak semua, dan ini akan pastikan individu yang bakal terajui parti itu sememangnya terbukit mendapat sokongan akar umbi.”

Ditanya mengenai calon potensi sebagai presiden Umno, beliau bersetuju dengan pandangan Atory bahawa Khairy, Mohamad, Hishamuddin dan Ismail sesuai untuk bertanding bagi jawatan tersebut.

“Empat nama ini tiada istilah langkah bendul.

“Mereka merupakan nama besar dalam Umno dan mempunyai sokongan yang kuat,” tambahnya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.