- Iklan -
Berita

KDN akan usaha mudahkan proses pengambilan pekerja asing, kata menteri

KDN mohon jemaah menteri beri kuasa supaya imigresen dibenar meluluskan 70% daripada jumlah permohonan oleh majikan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin. Gambar: Bernama
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin. Gambar: Bernama

Kementerian dalam negeri (KDN) berusaha untuk memudahkan proses majikan mengambil pekerja asing melalui program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang dikendalikan oleh Jabatan Imigresen (JIM).

Menterinya, Hamzah Zainudin berkata sebelum ini, majikan perlu mendapatkan kebenaran daripada kementerian sumber manusia (KSM) terlebih dahulu dan berikutan permohonan yang banyak, ia menyebabkan berlaku kelewatan.

“Oleh itu, KDN telah membawa isu ini ke mesyuarat jemaah menteri memohon agar JIM diberi kuasa untuk meluluskan 70% daripada jumlah yang dipohon oleh majikan dan kelulusan penuh hanya diberi selepas disahkan oleh KSM,” katanya dalam program Ruang Bicara yang membincangkan tajuk “Aspirasi Keluarga Malaysia KDN” terbitan Bernama TV, malam tadi.

Dalam pada itu, Hamzah berkata penambahbaikan program e-visa kepada 35 negara berbanding 10 negara sebelum ini telah mendapat maklum balas yang baik daripada dewan perniagaan negara-negara luar.

Katanya, dengan sistem berkenaan ekspatriat dari negara terlibat boleh mendapatkan pas pelekat imigresen sebaik mendarat berbanding 30 hari sebelum ini.

Mengenai projek perintis melibatkan 11 pos kawalan sempadan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Sabah dan Sarawak yang berfungsi sebagai balai polis bermula 15 November lepas, Hamzah berkata ia mendapat maklum balas positif daripada penduduk setempat kerana mereka tidak perlu keluar jauh ke bandar untuk membuat laporan polis atau jika berlaku kelahiran dan kematian.

Sementara itu, ketika ditemui selepas program ruang bicara berkenaan, Hamzah berkata KDN akan memberi lebih fokus dalam mempertingkatkan kawalan sempadan dengan menggunakan aset berteknologi tinggi selepas petunjuk prestasi utama (KPI) 100 hari pertama KDN dicapai.

Beliau berkata ini bagi memastikan masalah seperti kemasukan pendatang tanpa izin, pemerdagangan orang dan membawa masuk dadah atau barangan untuk mengelak cukai dapat diatasi sebaiknya.

“Ini merupakan perancangan jangka panjang KDN…lebih komprehensif yang mungkin memakan masa bukan 100 hari tetapi lima hingga tujuh tahun.

“Perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat ini adalah sesuatu yang memberi keselesaan supaya rakyat memahami bahawa KDN ada perancangan yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata ini dilakukan bagi mengelak sebarang imej buruk atau persepsi negatif terhadap agensi-agensi di bawah KDN.

- Iklan -

Paling Popular