- Iklan -
Berita

Nagaenthran alami delusi pulang ke rumah ketika tarikh baru rayuan hukuman mati ditetapkan

Pendengaran rayuannya ditetapkan pada 30 November, kumpulan pengamal undang-undang beri amaran hukuman mati mungkin akan "segera" dilaksanakan jika ia ditolak.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Aktivis memegang gambar Nagaenthran K Dharmalingam dalam satu himpunan penyerahan memorandum untuk menggesa kerajaan Malaysia campur tangan bagi menyelamatkan nyawanya.
Aktivis memegang gambar Nagaenthran K Dharmalingam dalam satu himpunan penyerahan memorandum untuk menggesa kerajaan Malaysia campur tangan bagi menyelamatkan nyawanya.

Kebimbangan timbul berhubung kemerosotan keadaan mental Nagaenthran K Dharmalingam, seorang banduan Malaysia yang dijatuhkan hukuman mati di Singapura, ketika tarikh baru ditetapkan bagi rayuannya dalam usaha terakhir untuk membolehkan nyawanya diselamatkan.

Setakat ini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, Yang di-Pertuan Agong dan taikun perniagaan Richard Branson antara yang menyatakan sokongan dan rayuan agar kerajaan Singapura dapat memberikan pelepasan kepada Nagaenthtran.

Kumpulan pengamal undang-undang berpangkalan di UK Reprieve berkata rayuan itu dijadualkan pada 30 November ini berikutan penangguhan pelaksanaan diberikan selepas Nagaenthran didiagnosis Covid-19 sebelum percubaan terakhirnya di mahkamah bagi menghentikan pelaksanaan hukuman mati terhadapnya pada 10 November lalu.

Kumpulan itu berkata adik lelaki kepada Nagaentran, Navinkumar melawatnya di penjara dan mendapati keadaan mentalnya telah “merosot dengan teruk”.

“Saya tidak fikir dia tahu bahawa dia akan dihukum bunuh. Dia nampak seakan tidak faham langsung apa yang dia hadapi,” kata Navinkumar dalam satu kenyataan.

“Ketika saya melawatnya, dia bercakap tentang mahu pulang ke rumah dan makan makanan yang dimasak di rumah bersama keluarga. Hati saya hancur kerana dia seolah-olah menyangka dia akan pulang ke rumah.”

Navinkumar berkata Nagaenthran juga mengalami “delusi lain” dan bercakap mengenai “mahu mandi selama tiga jam dan duduk di taman”.

“Dia juga tidak dapat mengingati perkara paling asas dan beberapa hal yang dia katakan tidak begitu jelas.”

Nagaentran ditahan pada 2009 kerana membawa 43 g heroin ke Singapura, negara yang memiliki undang-undang kesalahan dadah paling keras di dunia.

Diagnosis keupayaan mentalnya mendapati dia memiliki IQ 69 – di bawah nilai ambang 70 di mana seseorang individu itu boleh diisytiharkan sebagai kurang keupayaan intelek.

Dia bagaimanapun dijatuhi hukuman mati pada 2010 dan akan menjalani hukuman gantung sampai mati pada 10 November lalu selepas gagal dalam beberapa rayuan.

Hukuman tersebut diteruskan walaupun penyokongnya mendakwa ketidakupayaan intelektualnya menyebabkan dia tidak boleh membuat keputusan rasional.

Kumpulan hak asasi manusia melancarkan kempen bagi menyelamatkan nyawanya.

Pada 3 November, puluhan aktivis masyarakat sivil berkumpul di luar Parlimen Malaysia bagi mengetengahkan kesnya kepada ahli Parlimen.

Pengkritik juga mengingatkan kerajaan Singapura tentang kewajipannya untuk mematuhi perjanjian antarabangsa yang melarang hukuman mati bagi orang kurang upaya (OKU) mental.

Namun republik itu menolak bantahan tersebut, mengatakan Nagaentran sedar mengenai tindakannya dan mendakwa dia memalsukan keadaan mentalnya dengan mengubah kelayakan akademiknya bagi menunjukkan dia memiliki IQ rendah.

Susulan kenyataan itu, ia mendapat kecaman dari NGO Lawyers for Liberty, pengkritik lantang terhadap rekod hak asasi manusia Singapura, khususnya dalam cara pengendaliannya mengenai banduan bilik akhir yang disabitkan kesalahan dadah.

“Alasan untuk mempunyai dasar antidadah yang keras tidak dapat memperbaiki atau membenarkan hukuman gantung terhadap orang kurang upaya mental. Tiada sebarang alasan yang boleh menjadikan pelaksanaan ini betul atau menyenangkan bagi mana-mana orang yang berfikiran waras,” kata kumpulan itu.

Ismail menulis surat kepada rakan sejawatnya di Singapura Lee Hsien Loong pada awal November, memohon kelonggaran diberikan kepada Nagaentran.

Dalam surat kepada Lee Hsien Loong, Ismail berkata beliau memahami keengganan kerajaan Singapura untuk menghentikan pelaksanaan hukuman itu berdasarkan semua proses perundangan sudah digunakan, namun berharap rayuan mengenai Nagaenthran boleh dipertimbangkan “semata-mata atas dasar kemanusiaan”.

Sementara itu, jutawan syarikat penerbangan Britain, Branson menggesa presiden Singapura untuk memberikan pengampunan kepada Nagaenthran, mengatakan sabitan terhadap Nagaenthran K Dharmalingam adalah satu contoh kes di seluruh dunia di mana ramai orang miskin dipaksa menyeludup dadah untuk menampung kehidupan dan terpaksa menanggung “hukuman mati” sementara dalang sebenar terus menjalankan perniagaan haram yang sangat menguntungkan.

Baru-baru ini didedahkan di Dewan Rakyat bahawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah juga menulis surat kepada Singapura, meminta presiden meringankan hukuman atau membebaskan Nagaenthran.

Petisyen yang menyeru agar hukuman mati terhadapnya dihentikan ditandatangani lebih 90,000 orang.

Reprieve berkata hukuman mati Nagaenthran hanya ditangguhkan sementara menunggu rayuannya, di mana boleh menyebabkan risiko hukuman gantung dilaksanaan secara “segera” jika rayuannya ditolak.

“Fakta menyayat hati Nagaenthran yakin dia akan pulang ke rumah keluarganya menunjukkan bahawa dia tidak memahami sepenuhnya bahawa dirinya sedang menghadapi hukuman mati, menambah bukti sedia ada yang Nagaenthran tidak memiliki keupayaan mental untuk dihukum bunuh,” kata pengarahnya, Maya Foa.

“Perdana Menteri Lee Hsien Loong juga telah menyatakan dengan jelas komitmennya untuk memperjuangkan hak OKU. Membiarkan kepalsuan ini berlaku hanya membiarkan janji-janji komitmen itu sia-sia belaka.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.