- Iklan -
Berita

Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac disyor sebagai dos penggalak

Dos penggalak bagi individu yang layak akan dimaklumkan melalui aplikasi MySejahtera atau penerima boleh mendaftar dalam senarai menunggu untuk mendapatkan tarikh janji temu di fasiliti kesihatan awam dan swasta terpilih.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan memasukkan vaksin Sinovac ke dalam picagari untuk vaksinasi kepada penerima.
Petugas kesihatan memasukkan vaksin Sinovac ke dalam picagari untuk vaksinasi kepada penerima.

Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWG) di bawah Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Penggalak (CITF-B) telah mengesyorkan dos penggalak melibatkan tiga jenis vaksin diberikan kepada semua penduduk berumur 18 tahun dan ke atas.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata dos itu ialah vaksin Comirnaty, AstraZeneca dan CoronaVac dengan keutamaan janji temu diberikan mengikut turutan umur, petugas barisan hadapan, individu dengan komorbiditi, wanita hamil dan keperluan ke luar negara.

“Bagi penerima vaksin CoronaVac, dos penggalak akan diberikan selepas tiga bulan daripada dos kedua diterima. Disyorkan untuk menerima dos penggalak vaksin Comirnaty (Pfizer) bagi semua peringkat umur atau vaksin AstraZeneca bagi individu berumur 50 tahun dan ke atas.

“Bagi individu yang tidak boleh mengambil vaksin Comirnaty atau AstraZeneca sebagai dos penggalak, vaksin CoronaVac (Sinovac) boleh diberikan, namun, bagi individu yang memilih vaksin CoronaVac (Sinovac) sebagai dos penggalak, mereka boleh maklumkan kepada pusat pemberian vaksin (PPV) untuk menerima vaksin berkenaan,” katanya dalam dalam sebuah kenyataan.

Selain itu penerima vaksin AstraZeneca akan diberikan dos penggalak enam bulan selepas dos kedua dan mereka disyorkan untuk menerima dos penggalak vaksin yang sama bagi semua peringkat umur, namun vaksin Comirnaty juga boleh digunakan.

Khairy memaklumkan bagi penerima vaksin lain, iaitu vaksin Comirnaty, Spikevax (Moderna) dan Convidecia (CanSino), Covilo (Sinopharm) dan Janssen (Johnson & Johnson), mereka disyorkan untuk menerima dos penggalak vaksin Comirnaty bagi semua peringkat umur atau vaksin AstraZeneca bagi individu berumur 50 tahun dan ke atas.

“Penerima Comirnaty, Spikevax dan Convidecia akan diberikan dos penggalak selepas enam bulan daripada suntikan terakhir, manakala penerima vaksin Covilo pula selepas tiga bulan daripada dos kedua dan vaksin Janssen selepas dua bulan daripada dos terakhir,” katanya.

Beliau berkata vaksin dos penggalak diberikan di fasiliti pengamal perubatan swasta atau di luar fasiliti kesihatan swasta (off-site) dan ia juga diberikan di klinik kesihatan dan hospital kerajaan yang terpilih serta aktiviti jangkau luar (outreach).

Katanya tarikh janji temu untuk dos penggalak bagi individu yang layak akan diberikan melalui aplikasi MySejahtera atau penerima boleh mendaftar dalam senarai menunggu untuk mendapatkan tarikh janji temu di fasiliti kesihatan awam dan swasta terpilih.

Senarai fasiliti kesihatan awam dan swasta yang terlibat dengan pemberian dos penggalak boleh didapati di laman sesawang kementerian kesihatan Malaysia https://covid19.moh.gov.my/vaksin-covid-19 atau di laman sesawang Protect Health https://protecthealth.com.my/.