- Iklan -
Berita

1,003 majikan tutup, henti operasi perniagaan di Johor akibat pandemik

Jumlah itu berdasarkan rekod dan data yang dikeluarkan Jabatan Tenaga Kerja Negeri Johor bagi tempoh pandemik iaitu bagi 2020 dan 2021.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
9,512 pekerja tempatan hilang pekerjaan pada 2020 dan bagi 2021, sejumlah 2,719 pekerja tempatan telah hilang pekerjaan.
9,512 pekerja tempatan hilang pekerjaan pada 2020 dan bagi 2021, sejumlah 2,719 pekerja tempatan telah hilang pekerjaan.

Sebanyak 1,003 majikan di negeri ini telah menutup atau memberhentikan operasi perniagaan susulan terkesan akibat pandemik Covid-19, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor diberitahu hari ini.

Mendedahkan perkara itu, pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor Mohd Izhar Ahmad berkata jumlah itu berdasarkan rekod dan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Negeri Johor bagi tempoh pandemik iaitu bagi 2020 dan 2021.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 739 majikan direkodkan telah tutup dan henti operasi pada 2020 manakala sejumlah 264 majikan direkodkan pada 2021.

“Bagi menjawab persoalan berapakah jumlah rakyat negeri Johor yang terkesan dan hilang pekerjaan bagi tempoh masa tersebut, seramai 12,231 pekerja tempatan telah terkesan atau diberhentikan,” katanya pada sesi penggulungan Belanjawan Johor 2022 pada persidangan DUN, hari ini.

Menurut Mohd Izhar lagi, seramai 9,512 pekerja tempatan telah hilang pekerjaan pada 2020 dan bagi 2021, sehingga kini sejumlah 2,719 pekerja tempatan telah hilang pekerjaan.

Terdahulu ketika sesi soal jawab, beliau berkata seramai 27,410 individu warga tempatan berjaya mendapat pekerjaan di Johor di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sepanjang tempoh 15 Jun 2020 hingga 5 November lepas.

Sementara itu, 25,221 warga tempatan lain pula telah menghadiri program latihan di bawah inisiatif yang sama bagi tempoh sama, kata beliau.

Izhar berkata terdapat 40,149 kekosongan jawatan ditawarkan di Johor hingga 29 Oktober lepas.

Antara sektor pekerjaan utama yang menawarkan kekosongan itu adalah penginapan dan perkhidmatan makanan dan minuman, pembuatan, perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan serta sektor perkhidmatan lain, katanya.

Izhar berkata demikian ketika menjawab soalan Md. Ysahrudin Kusni (PH-Bukit Naning) dan Hahasrin Hashim (BN-Panti) mengenai jumlah peluang pekerjaan yang diwujudkan pasca Covid-19.