- Iklan -
Berita

Masa depan Anwar makin malap selepas PKR kalah teruk di Melaka

Kemelut yang dihadapi parti itu dalam PRN Melaka akan membawa kepada persoalan sukar berkenaan tokoh yang menjadi simbol penubuhannya.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim ketika pelancaran manifesto gabungan itu di PRN Melaka.
Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim ketika pelancaran manifesto gabungan itu di PRN Melaka.

Gesaan senyap supaya Presiden PKR Anwar Ibrahim yang merupakan pengerusi Pakatan Harapan (PH) diganti timbul kembali susulan kegagalan PKR memenangi kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berakhir semalam, menurut sumber yang rapat dengan perbincangan dalaman parti itu.

Beberapa pemimpin dan aktivis kanan PKR yang kekal bersama parti sejak ditendang keluar dari Putrajaya pada 2020 turut mempersoalkan keupayaan Anwar untuk mengetuai gabungan itu, mengatakan parti itu akan berdepan “kesukaran” dalam menghadapi sekutu-sekutunya terutamanya DAP bagi membincangkan peruntukan kerusi yang memiliki populasi campuran kaum pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Sekurang-kurangnya dua ahli Parlimen PKR yang dihubungi MalaysiaNow enggan mengulas, sementara seorang lagi berkata kajian post-mortem akan dilaksanakan dalam beberapa hari yang akan datang “bagi membincangkan kembali persoalan mengenai pemimpinnya yang menjadi imej parti.”

PKR tewas di kesemua 11 kerusi ditandinginya walaupun diperuntukkan paling banyak kerusi daripada rakan sekutunya dari Amanah yang menang satu kerusi sementara DAP empat kerusi.

Walaupun beberapa kekalahan terburuknya menunjukkan penolakan kuat daripada pengundi Melayu, parti itu juga turut kalah di Machap Jaya.

Machap Jaya adalah sebuah kerusi penting kerana ia adalah satu-satunya kerusi majoriti bukan Melayu yang ditandingi PKR.

Tujuh lagi kerusi majoriti bukan Melayu ditandingi DAP, yang memenangi empat daripadanya.

“Seperti di seluruh negara, sudah jadi cabaran bagi PKR untuk dapatkan kerusi yang didominasi kaum Cina atau malah berbilang kaum, kerana kerusi ini dituntut oleh DAP pada setiap pilihan raya semasa perbincangan pembahagian kerusi,” kata seorang bekas ahli PKR yang pernah terlibat dalam pembahagian kerusi antara parti PH.

“Kekalahan di Machap Jaya hanya akan mengukuhkan hujah DAP untuk tidak berikan kerusi kepada PKR dan Amanah jika ia berkait dengan kerusi majoriti bukan Melayu,” katanya.

PKR ditubuhkan sebagai Parti Keadilan Nasional (PKN) pada 1999 oleh penyokong Anwar, beberapa bulan selepas beliau dipecat Dr Mahathir Mohamad dan kemudian disabitkan dan dipenjarakan atas kesalahan liwat dan salah guna kuasa.

Sejak itu, parti itu mengekalkan imejnya sebagai parti Anwar, dengan isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak perempuan mereka Nurul Izzah diberi peranan penting.

Gesaan supaya Anwar berundur bukanlah perkara baru.

Ogos lalu, kegagalannya mengumpul sokongan yang cukup daripada ahli Parlimen pembangkang bagi mengisi kekosongan jawatan perdana menteri susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin mencetuskan perdebatan sama ada beliau masih relevan.

Pengkritik sosial terkemuka Chandra Muzaffar, yang merupakan salah seorang penggerak awal gerakan reformasi turut bersetuju bahawa keputusan PRN akan menghantui Anwar dengan persoalan yang ditimbulkan mengenai peranannya dalam mencetuskan pilihan raya semasa pandemik Covid-19.

“Sejak dua tahun kebelakangan ini, Anwar memberi tumpuan terutamanya dalam usaha mendapatkan angka di Dewan Rakyat untuk menjatuhkan kerajaan hari ini. Sesetengah pengundi tidak menyukai cadangan ini,” kata Chandra yang ditugaskan menggubal perlembagaan PKN sewaktu penubuhannya dua dekad lalu.

Beliau berkata kestabilan politik adalah kebimbangan asas kepada pengundi, sambil menambah antara punca PKR dihukum adalah disebabkan peranan presidennya dalam mencetuskan PRN semasa wabak.

“Ramai yang memutuskan untuk menentang orang yang menjatuhkan kerajaan negeri Melaka beberapa minggu lalu. Beberapa pemimpin BN sebenarnya meminta pengundi menghukum mereka yang menyebabkan ketidakstabilan di negeri itu,” tambahnya kepada MalaysiaNow.

Pemeriksaan MalaysiaNow mendapati di kawasan-kawasan ditandingi PKR, PH menduduki tempat terakhir dalam kalangan tiga gabungan utama, memperoleh 16.3% undi popular, di belakang Perikatan Nasional yang dianggap “underdog” yang memperolehi 18.7%.

Malahan, langkahnya untuk meletakkan nama besar seperti bekas ketua menteri dan bekas pemimpin Umno Idris Haron di Asahan, atau ahli Parlimen yang juga Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mat Akin di Paya Rumput, ternyata gagal memberikan sebarang kerusi untuk PKR.

Di Tanjung Bidara, di mana peratusan pengundi Melayu adalah tertinggi di Melaka, Zainal Hassan dari PKR kehilangan deposit apabila memperoleh hanya 489 undi.

Chandra berkata, kegagalan PKR memenangi mana-mana kerusi juga adalah bukti penolakan berterusan oleh orang ramai.

“Bagi ramai pengundi Melayu, persekongkolan PKR dengan DAP adalah satu yang dibenci,” katanya.

Sementara itu, seorang bekas ahli Parlimen PKR berkata sebarang bedah siasat mengenai kekalahannya di Melaka tidak boleh mengabaikan persoalan kepimpinan pusat parti itu.

“Jawapan mengapa kami kalah di Melaka berada di luar negeri itu, dan bedah siasat yang jujur ​​akan tunjukkan beberapa kebenaran yang pahit ditelan,” katanya.

“Beberapa nama besar kalah. Pimpinan perlu lakukan muhasabah, mungkin mereka perlu memikirkan sebab utama mengapa parti dibentuk.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.