- Iklan -
Berita

Rosmah mohon hakim Mahkamah Tinggi kes gubah wang haram tarik diri

Rosmah memberi alasan Zaini mendengar perbicaraan kes solar yang dihadapinya dan hakim berkenaan memutuskan bahawa kes prima facie telah terbukti dan mengarahnya membela diri.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor. Gambar: Bernama
Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor. Gambar: Bernama

Rosmah Mansor memohon supaya hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kes pengubahan wang haram (Amla) dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dihadapi isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak itu.

Rosmah, 69, yang memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi menerusi Tetuan Geethan Ram pada 2 November lalu, turut memohon perintah bahawa lanjutan daripada penarikan diri Zaini, kes itu akan ditetapkan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi lain.

Berdasarkan notis permohonan, Rosmah membuat permohonan itu atas alasan Zaini mendengar perbicaraan kes solar yang dihadapinya dan hakim berkenaan memutuskan bahawa kes prima facie telah terbukti dan beliau dikehendaki membela diri bagi kes tersebut yang perbicaraannya bersambung 8 Disember ini.

Dakwa Rosmah, keterangan dan eksibit-eksibit telah dikemukakan di mahkamah dalam perbicaraan kes itu yang ia secara langsung atau tidak langsung boleh mempengaruhi Zaini sekiranya hakim berkenaan mendengar kes Amla tersebut.

“Hak pemohon untuk mendapatkan suatu perbicaraan yang adil adalah dilindungi sebagai hak asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan dan hak itu akan diprejudiskan secara teruk dan menjadi sia-sia sekiranya hakim berkenaan mendengar perbicaraan kes ini,” dakwa Rosmah dalam permohonan itu.

Sementara itu, peguam Geethan Ram Vincent yang mewakili Rosmah ketika dihubungi berkata hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes itu di hadapan timbalan pendaftar Catherine Nicholas.

Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta  Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan mengelakkan cukai pula dibuat mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang menuntut Rosmah mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada ketua pengarah hasil dalam negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

 

- Iklan -

Paling Popular