- Iklan -
Berita

AS gantung bantuan AS$700 juta kepada Sudan selepas kudeta tentera

AS berkata kudeta tentera itu membantutkan peralihan negara itu kepada pemerintahan awam yang demoratik.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Rakyat Sudan keluar ke jalan raya selepas kudeta tentera menggulingkan kerajaan peralihan yang memerintah selepas kejatuhan Omar Al-Bashir dua tahun lalu. Gambar; AP
Rakyat Sudan keluar ke jalan raya selepas kudeta tentera menggulingkan kerajaan peralihan yang memerintah selepas kejatuhan Omar Al-Bashir dua tahun lalu. Gambar; AP

Amerika Syarikat (AS) pada Isnin menggantung bantuan ekonomi berjumlah US$700 juta kepada Sudan selepas pasukan tentera negara itu menahan pemimpin dan pegawai awam, lapor Xinhua.

“AS mengecam tindakan semalaman yang dlakukan pasukan tentera Sudan,” kata jurucakap Jabatan Negara Ned Price semasa taklimat media.

“Penangkapan pegawai kerajaan awam dan pemimpin politik lain, termasuk Perdana Menteri (Abdalla) Hamdok, menjejaskan proses peralihan negara itu kepada pemerintahan awam yang demokratik.”

“Berdasarkan perkembangan ini, AS menghentikan bantuan AS$700 juta daripada peruntukan bantuan kecemasan untuk dana sokongan ekonomi untuk Sudan,” tambahnya.

Price menggesa tentera supaya segera membebaskan semua pegawai yang ditahan, memulihkan sepenuhnya kerajaan peralihan yang diketuai orang awam dan mengelakkan kekerasan terhadap penunjuk perasaan.

Terdahulu pada Isnin, Pengerusi Majlis Berdaulat Sudan Abdel Fattah Al-Burhan mengisytiharkan darurat di seluruh Sudan, dan membubarkan majlis berdaulat peralihan dan kerajaan.

Keputusan itu dibuat beberapa jam selepas Perdana Menteri Sudan Abdalla Hamdok, anggota komponen awam Majlis Berdaulat Peralihan dan beberapa menteri ditangkap oleh pasukan tentera gabungan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.