- Iklan -
Berita

Ahli perniagaan dihadap ke mahkamah beri maklumat palsu guna alamat istana

Mohamad Halmi dan Affendy didakwa memberi maklumat palsu dalam butiran material kad pengenalan bahawa alamat penuh mereka adalah kediaman diraja Istana Kinta di Ipoh.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Affendy Abdul Aziz, salah seorang daripada ahli perniagaan yang memberi maklumat palsu MyKad di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini. Gambar: Bernama
Affendy Abdul Aziz, salah seorang daripada ahli perniagaan yang memberi maklumat palsu MyKad di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini. Gambar: Bernama

Dua peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan memberi maklumat palsu di kad pengenalan diri dengan menggunakan alamat kediaman diraja Istana Kinta, enam tahun lalu.

Mohamad Halmi Waramejini, 55, dan Affendy Abdul Aziz, 49, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Norita Mohd Ardani.

Mohamad Halmi dan Affendy didakwa memberi maklumat palsu dalam butir material kad pengenalan bahawa alamat penuh tempat kediaman tertuduh dalam Malaysia adalah kediaman diraja Istana Kinta di Ipoh yang tertuduh ketahui bahawa maklumat tersebut adalah palsu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada tarikh dan tempat yang sama di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara UTC Perak di Aras 4, Pasar Besar Ipoh Jalan Dato’ Onn Jaafar Ipoh di dalam daerah Kinta pada 26 Oktober 2015.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Subperaturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Sally Chay manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohamad Salihen Mastor.

Sally menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 setiap seorang atas alasan kesalahan dilakukan adalah serius.

Bagaimanapun, Mohamad Salihen memohon wang jaminan dikurangkan atas alasan pendapatan kedua-duanya terjejas disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain mempunyai tanggungan keluarga.

Mohamad Halmi yang menetap di Johor Bahru, Johor menanggung isteri dan dua orang anak manakala Affendy yang tinggal di Subang Jaya, Selangor perlu menyara isteri dan 10 orang anak.

Mahkamah membenarkan masing-masing diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan, perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran dan menetapkan 8 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.