- Iklan -
Berita

Jika KM kata lawan, GPS lawan, kata Nancy berhubung beri laluan kepada Bersatu

Ahli Parlimen Batang Sadong itu berkata GPS adalah gabungan bebas walaupun bekerjasama dengan kerajaan persekutuan bagi kepentingan Sarawak.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
GPS yang terdiri daripada beberapa parti berpangkalan di Sarawak dilihat sebagai kingmaker dalam politik persekutuan. Gambar: Bernama
GPS yang terdiri daripada beberapa parti berpangkalan di Sarawak dilihat sebagai kingmaker dalam politik persekutuan. Gambar: Bernama

Ahli Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri berkata gabungan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersedia bertanding di kerusi-kerusi Parlimen tradisi parti itu sekiranya pilihan raya dilaksanakan, sama ada di peringkat negeri atau persekutuan, menyatakan sebarang keputusan untuk memberi laluan kepada Bersatu bergantung kepada arahan Ketua Menteri Abang Johari Openg.

“Apa pun yang diputuskan ketua menteri kita, sebagai pemimpin, kita akan ikut,” katanya kepada MalaysiaNow ketika ditanya mengenai kemungkinan Bersatu yang berpangkalan di Semenanjung bakal menyamai GPS dari segi kerusi Parlimen.

“Sekiranya Abang Johari kata lawan, kita akan lawan.”

GPS, yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), dilihat secara meluas sebagai kingmaker dalam politik persekutuan.

Nancy, yang merupakan naib ketua Wanita PBB, menyifatkan GPS sebagai “gabungan bebas”, mengatakan arahan mengenai pilihan raya akan datang dari Abang Johari.

“Kami bergerak sendiri,” tambahnya.

“Kami tidak campur mana-mana parti yang berpusat di Semenanjung.”

Bagaimanapun, menteri seni, budaya dan pelancongan itu memberi jaminan bahawa GPS akan terus bekerjasama dengan kerajaan pusat demi kepentingan Sarawak.

“Pendirian kami untuk tetap bersatu, dan kami juga harus membuat keputusan sebagai GPS,” katanya.

Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan walaupun mempunyai keinginan untuk mempunyai kerusi di Sarawak, Bersatu berkata pihaknya tetap menghormati pendirian GPS jika gabungan politik kerajaan negeri itu memutuskan untuk tidak memberi jalan kepada parti yang mesra mereka dari Semenanjung.

“Kami akui kami tak besar. Kami faham pendirian mereka, kami hormat, dan kami ingin pastikan hubungan terus harmoni kerana kita berada dalam kapal yang sama,” kata Pengerusi Bersatu Sarawak Jaziri Alkaf A Suffian, yang juga merupakan ketua Perikatan Nasional (PN) negeri itu.

Beliau turut berkata Bersatu bukan ancaman selain menyatakan sokongan penuh kepada GPS dan berikrar untuk menggerakkan jenteranya bagi membantu sekutunya di Sarawak menang dalam pilihan raya negeri akan datang, dan pilihan raya umum.

PN memperluaskan kerjasama dengan GPS susulan lawatan rasmi pertama pengerusi PN dan perdana menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin ke Sarawak.

Muhyiddin diganti oleh Ismail Sabri Yaakob pada Ogos lalu selepas kehilangan sokongan majoriti.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.