Wednesday, May 12, 2021

Bersatu intai ‘satu, dua kerusi’ Sarawak tanpa mahu ‘lukakan’ GPS

Persoalan lain timbul mengenai sejauh mana bantuan Bersatu kepada GPS dalam usaha memenangi pilihan raya di Sarawak?

Other News

Walaupun mempunyai keinginan untuk mempunyai kerusi di Sarawak, Bersatu berkata pihaknya tetap menghormati pendirian GPS jika gabungan politik kerajaan negeri itu memutuskan untuk tidak memberi jalan kepada parti yang mesra mereka dari Semenanjung.

“Kami akui kami tak besar. Kami faham pendirian mereka, kami hormat, dan kami ingin pastikan hubungan terus harmoni kerana kita berada dalam kapal yang sama,” kata Pengerusi Bersatu Sarawak Jaziri Alkaf A Suffian, yang juga merupakan ketua Perikatan Nasional (PN) negeri itu, kepada MalaysiaNow.

PN baru-baru ini menyatakan sokongan penuh kepada GPS dan berikrar untuk menggerakkan jenteranya bagi membantu sekutunya di Sarawak menang dalam pilihan raya negeri akan datang, dan pilihan raya umum.

Perkembangan politik itu adalah susulan lawatan rasmi pertama pengerusi PN dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ke Sarawak.

Sebuah lawatan yang dilihat berjaya mempereratkan hubungan antara Putrajaya dan kerajaan negeri walaupun wujud sebahagian pemimpin Umno yang mahu memutuskan hubungan dengan kerajaan persekutuan.

Muhyiddin semasa lawatannya enggan mengulas mengenai isu apakah Bersatu akan bertanding di Sarawak dan berkata perkara tersebut adalah tertakluk kepada persetujuan dari GPS.

GPS, diketuai PBB ditubuhkan selepas parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak keluar dari gabungan besar politik itu, selepas pilihan raya umum 2018.

Parti komponen GPS juga turut mewakili demografi Sarawak.

PBB dilihat mewakili masyarakat Melanau dan Melayu, SUPP mewakili kaum Cina, sementara PDP dan PRS mewakili komuniti peribumi bukan Islam.

James Chin, seorang penganalisis politik Sarawak yang bersimpati dengan Pakatan Harapan, berpendapat tawaran PN untuk membantu kempen GPS tidak mampu membantu gabungan itu.

Chin berkata bahawa PDP dan PRS mungkin berbeza pandangan mengenai penglibatan PAS, salah satu parti komponen penting PN, dalam sebarang kempen pilihan raya.

Parti Islam itu bertapak di Sarawak sekitar dua dekad lalu dan tidak pernah memenangi kerusi di negeri tersebut.

“(Bantuan) mereka tidak akan beri kesan dan bahkan jika mereka dibenarkan untuk bertanding, hubungan tersebut akan gagal sepenuhnya.” kata Chin.

Beliau juga mempersoalkan mengapa GPS memerlukan bantuan Bersatu dan parti-parti semenanjung lain kerana ia akan melemahkan jenama yang diusahakan gabungan itu sebagai parti tempatan, selepas bertahun-tahun menjadi sebahagian dari BN sebelum PRU14.

“Pilihan raya negeri yang akan datang adalah penampilan pertama mereka di bawah GPS, jadi mereka tidak boleh membiarkan PN datang kerana inilah masanya untuk GPS yakinkan rakyat bahawa mereka sudah menjenamakan semula diri mereka,” tambah Chin.

Chin juga meramalkan GPS tidak akan memberi laluan kepada PN walaupun mereka adalah sekutu politik.

Menurut Chin lagi, parti seperti Bersatu dan PAS hanya mempunyai harapan untuk menang di kawasan bandar di Sarawak.

“Satu-satunya masalah sekarang ialah kerusi Krian yang diwakili Ali Biju, yang sekarang masih dibincangkan,” katanya, merujuk kepada Adun yang keluar dari PKR untuk menyertai Bersatu.

Ali Biju telah dua kali mengalahkan BN di Krian, sebuah kawasan DUN komuniti Iban.

Sementara itu, pemimpin Bersatu seperti Jaziri dilihat berhati-hati ketika membicarakan perkara ini. Hal ini dipercayai demi tidak mahu mengganggu hubungan erat yang dicapai semasa lawatan Muhyiddin baru-baru ini.

Jaziri berkata fokus utama Bersatu ketika ini bukanlah mengenai kerusi.

“Kami hormati kedudukan GPS untuk bertanding di semua 82 kerusi DUN pada pilihan raya negeri yang akan datang,” katanya, sambil menambah bahawa beliau berharap Ali Biju dibenarkan untuk bertanding.

“Tetapi, secara peribadi, marilah kita dengar apa yang akar umbi mahukan. Mungkin satu, dua atau lebih kerusi,” tambahnya.

Jaziri yakin bahawa dengan 45,000 anggota di Sarawak, Bersatu berada pada posisi yang baik untuk menggerakkan sokongan kepada pihak kerajaan.

“Jadi, bagaimana jika kami boleh sumbang satu atau dua kerusi yang dapat perkukuh kerajaan negeri Sarawak. Kalau kami dapat lakukan, bukankah ia lebih baik untuk GPS? ”, Katanya.

Beliau bagaimanapun sekali lagi mengakui Bersatu “tidak besar” di Sarawak dan tidak boleh dianggap sebagai ancaman oleh GPS, hal tersebut juga, katanya, telah diberitahu kepada Ketua Menteri Abang Johari Openg.

“Saya secara peribadi beritahu Abang Johari, kami di sini untuk bantu, dan tak perlu risau. Walaupun kami tak besar, kami ada orang-orang di lapangan untuk bantu mereka.

“Jawatankuasa dan anggota kami semuanya rakyat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai etnik,” tambahnya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles