- Iklan -
Berita

Menteri perlu umum kad laporan pencapaian kepada rakyat, kata PM

Kerajaan meletakkan pencapaian aspirasi itu sebagai keutamaan tertinggi bagi setiap menteri dalam memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ketika mempengerusikan mesyuarah jemaah menteri pada 10 September. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ketika mempengerusikan mesyuarah jemaah menteri pada 10 September. Gambar: Bernama

Ahli jemaah menteri diarah mengumumkan Kad Laporan Pencapaian Aspirasi Keluarga Malaysia 100 hari masing-masing kepada rakyat bagi penilaian prestasi mereka dan kementerian yang diterajui demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan meletakkan pencapaian aspirasi itu sebagai keutamaan tertinggi bagi setiap menteri dalam memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

Menurut perdana menteri, mesyuarat jemaah menteri pada 10 September lepas menetapkan tempoh 100 hari pertama setiap menteri di bawah pentadbirannya bermula dari 1 September, iaitu pada hari pertama mesyuarat jemaah menteri diadakan.

“Pada 24 dan 29 September saya telah mengadakan sesi bersama kesemua 31 ahli jemaah menteri untuk memuktamadkan senarai aspirasi yang telah dicadangkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail berkata pelaksanaan semua inisiatif bagi setiap aspirasi adalah berlandaskan enam teras utama iaitu menstruktur semula ekonomi; menjamin keselamatan dan ketenteraman negara; meningkatkan kesejahteraan sosial.

Turut menjadi teras adalah meningkatkan infrastruktur menyeluruh; memperkukuh penyatuan dalam acuan Keluarga Malaysia serta memperkasa penyampaian perkhidmatan.