- Iklan -
Berita

Ramai wanita bertanding pilihan raya tetapi kalah, kata timbalan menteri

Timbalan Menteri KPWKM Siti Zailah berkata, meskipun keadaan demikian ia tidak bermakna calon-calon wanita tidak setanding dengan calon lelaki.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah bersama ketuanya di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Ahli Parlimen Titiwangsa Rina Harun. Gambar: Facebook
Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah bersama ketuanya di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Ahli Parlimen Titiwangsa Rina Harun. Gambar: Facebook

Ramai calon wanita yang bertanding kerusi Parlimen namun tidak ramai yang berjaya memenangi kerusi yang ditandingi, sekali gus menyukarkan sasaran 30% perwakilan wanita di Dewan Rakyat, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Siti Zailah Mohd Yusoff.

Beliau berkata, meskipun sedemikian ia tidak bermakna calon-calon wanita tidak setanding dengan calon lelaki.

Katanya, usaha meletakkan lebih ramai wanita sebagai calon ahli Parlimen bergantung kepada parti politik masing-masing.

“Sebenarnya ramai wanita yang dicalonkan, tapi tak ramai yang menang. Di sinilah satu cabaran kepada wanita untuk melihat kekurangan untuk ditambah baik.

“Ada YB-YB wanita yang sesetengahnya lebih baik daripada YB lelaki. Wanita bukan tidak mampu, tetapi suasana dan penerimaan masyarakat yang mungkin merasa wanita tidak mampu menghadapi (cabaran),” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Katanya, kementeriannya merancang untuk mengadakan perbincangan dengan ketua-ketua parti politik dalam masa terdekat bagi meningkatkan jumlah penyertaan wanita sebagai calon ahli Parlimen menjelang Plihan Raya Umum ke-15 akan datang.

Terdahulu, pada sesi pertanyaan di Dewan Rakyat, beliau memaklumkan jumlah perwakilan wanita di Dewan Rakyat ketika ini ialah sebanyak 15% atau 33 daripada 220 jumlah keseluruhan (dua kekosongan), manakala di Dewan Negara seramai 15% atau lapan wanita daripada 53 jumlah ahli (17 kekosongan).

Di peringkat penjawat awam, Siti Zailah memaklumkan seramai 38.2% penjawat awam wanita di peringkat pembuat keputusan melalui pengisian Gred Utama C dan ke atas pada tahun 2020.

Manakala di sektor swasta, penglibatan wanita mencecah 25.8%  berdasarkan keanggotaan wanita sebagai ahli lembaga pengarah di 100 syarikat tersenarai awam teratas.

“Berdasarkan Indeks Jurang Gender Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2020, didapati terdapat jurang gender yang agak ketara antara lelaki dengan wanita dalam penyertaan politik iaitu dengan skor 0.108 daripada 1.0 skor penuh,” katanya ketika menjawab soalan Nor Azrina Surip (PH-Merbok).

Azrina ingin tahu mengenai usaha kementerian untuk menginstitusi dan meningkatkan perwakilan wanita di Parlimen bagi memastikan sasaran minimum 30% dicapai.

Dalam pada itu, Siti Zailah memberitahu sebanyak 178 program dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Wanita membabitkan 95,182 peserta bagi merealisasikan pemerkasaan wanita.