- Iklan -
Berita

Anwar nafi dakwaan serangan seksual, dakwa beberapa individu mahu halangnya jadi PM

Beliau mempersoalkan waktu saman itu dibuat, mengatakan ia dilakukan ketika krisis politik di mana beliau "ada kemungkinan" menjadi perdana menteri.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Anwar Ibrahim menafikan tuduhan serangan seksual terhadapnya oleh bekas kakitangan beliau, mengatakan beliau tidak pernah bertemu dengan Muhammed Yusoff Rawther di Bukit Segambut pada 2 Oktober 2019 seperti yang didakwa dalam saman yang difailkan Julai lalu.

Dalam sebuah kenyataan pembelaan oleh presiden PKR itu hari ini, Anwar berkata tuduhan Yusoff dalam saman tersebut adalah rekaan dengan kerjasama “individu atau individu-individu yang pada masa ini tidak diketahui,” sebagai sebahagian usaha untuk mencemarkan imej beliau menjelang kongres PKR selain mengganggu perjanjian peralihan kuasa dari Dr Mahathir Mohamad kepadanya.

Beliau turut memetik perselisihan antara beliau dan bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali, mengatakan wujud percubaan untuk menentang “kemajuan politik” beliau.

“Khususnya, perselisihan antara kumpulan DSAI dan kumpulan Azmin Ali dan/atau individu-individu yang menentang kemajuan politik (political advancement) dan/atau kepimpinan DSAI telah secara progresifnya membara dan meningkat kepada kemuncak kongres, sewaktu kongres dan selepasnya,” katanya.

Anwar kemudian turut mempertikaikan waktu kejadian yang didakwa Yusoff dan pemfailan saman yang dilakukan pada Julai, mengatakan ketika itu berlaku krisis politik di mana beliau “ada kemungkinan” menjadi perdana menteri.

Beliau merujuk peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri yang mencetuskan kelompongan kuasa pada Ogos lalu di mana ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan menamakan Anwar sebagai calon bagi jawatan nombor satu negara itu.

Bagaimanapun, Anwar gagal mendapatkan sokongan yang cukup dari ahli-ahli Parlimen berbanding Ahli Parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob yang kemudian mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 22 Ogos.

“Dalam hal ini, masa guaman ini pada pertengahan Julai 2021 adalah dirancang oleh Yusoff, dan dengan kerjasama individu atau individu-individu yang pada masa kini tidak diketahui, untuk mencemarkan imej politik DSAI dan bagi merosakkan sebarang
kemungkinan DSAI untuk menjadi perdana menteri Malaysia.”

Dalam pada itu, Anwar berkata beliau menawarkan kerja kepada Yusoff di banglo beliau di Petaling Jaya selepas bersetuju dengan kehendak Allahyarham SM Idris yang merupakan pengasas Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

Anwar turut menafikan Yusoff sebagai pembantu penyelidik, mengatakan dia merupakan “sukarelawan junior” yang dipantau oleh kakitangan kanan dan diberikan tugas-tugas seperti menjawab panggilan telefon dan menyambut tetamu.

Beliau turut menafikan dakwaan Yusoff yang mengatakan dia diberikan penginapan di pejabat banglonya di Jalan Gasing.

“Sebaliknya, pejabat tersebut mempunyai kemudahan-kemudahan yang membenarkan staf dan sukarelawan-sukarelawan yang antara lainnya bekerja sehingga lewat untuk menyegarkan diri atau bermalam (jika perlu).”

Menurut Anwar, Yusoff dituduh membuat pembelian yang tidak disahkan menggunakan kad kredit milik seorang pegawai.

Ekoran insiden tersebut, Anwar berkata Yusoff kemudiannya dipindahkan untuk bertugas di Yayasan Aman, sebuah yayasan diketuai beliau dan isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Anwar seterusnya berkata Yusoff adalah “pro-Israel” ketika itu, sambil menambah dia juga memiliki masalah disiplin.

Katanya lagi, Yusoff meletakkan jawatannya kira-kira sebulan selepas surat amaran dikeluarkan oleh Yayasan Aman pada Mei 2019.