- Iklan -
Berita

Kumpulan penculik Nigeria bebas 10 lagi tahanan selepas dapat wang tebusan

Kumpulan penculik itu menyerbu Sekolah Tinggi Bethel Baptist pada 5 Julai lalu di kawasan pinggiran bandar Kaduna, 121 pelajar ditawan dalam serbuan tersebut.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Salah seorang dari 28 pelajar Sekolah Tinggi Bethel Baptist yang dilepaskan kumpulan penculik di Hospital Wilbasun, Kaduna pada Julai lalu. Gambar: AFP
Salah seorang dari 28 pelajar Sekolah Tinggi Bethel Baptist yang dilepaskan kumpulan penculik di Hospital Wilbasun, Kaduna pada Julai lalu. Gambar: AFP

Kumpulan bersenjata api yang menculik lebih dari 100 pelajar dari sebuah sekolah Nigeria dua bulan lalu membebeaskan 10 lagi pelajar yang dijadikan tawanan selepas wang tebusan dibayar, kata ketua kumpulan ibu bapa mangsa pada Ahad.

Kumpulan itu menyerbu Sekolah Tinggi Bethel Baptist pada 5 Julai lalu yang terletak di bandar Kaduna, menculik 121 pelajar yang sedang tidur di asrama mereka.

Penculikan di sekolah itu merupakan salah satu aktiviti kumpulan bersenjata yang sering menyerang kawasan barat laut ibu negara Nigeria itu, selain mencuri haiwan ternakan penduduk.

Sejak kebelakangan ini, kumpulan itu menyasarkan sekolah dan kolej, menculik pelajar bagi mendapatkan wang tebusan daripada ibu bapa dan pihak berkuasa.

“Kumpulan penculik itu melepaskan 10 lagi pelajar hari ini selepas kami membayar tuntutan mereka selepas beberapa pelajar dilepaskan sebelum ini,” kata Joseph Hayab tanpa mendedahkan jumlah wang tebusan yang dibayar.

Pembebasan mangsa culik itu dilakukan selepas seminggu 10 daripada pelajar dilepaskan.

“Sekarang masih ada baki 11 orang lagi mangsa culik yang ditawan mereka dan kami harap kesemua mereka dilepaskan selepas ini apabila kami mencapai persetujuan dengan kumpulan penculik,” kata Hayab.

Penculik bersenjata telah membebaskan pelajar itu mengikut kumpulan bagi tujuan mendapatkan lebih banyak wang tebusan kerana ibu bapa membayar wang tebusan “setiap kali pelajar dilepaskan”.

Setakat ini, 110 pelajar telah dilepaskan atau berjaya melarikan diri.

Menurut jurucakap polis Frank Mba, tiga ahli kumpulan itu juga telah berjaya diberkas.

Lebih dari 1,000 pelajar dan murid sekolah telah diculik di kawasan utara Nigeria sejak Disember lalu, walaupun kebanyakan mereka dilepaskan selepas beberapa siri rundingan.

Bulan lalu, kumpulan penculik tersebut telah membebaskan 93 orang murid yang diculik dari sebuah pusat dakwah Islam di Niger selepas tiga bulan diculik.