- Iklan -
Berita

PKR jarakkan diri dari ’agen perisik Mossad’ warga Malaysia selepas tular gambar bersama bendera parti

PKR berkata dua dari 11 individu yang dituduh menculik warga Palestin itu bukan anggotanya dan tiada kaitan dengan parti.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar ini menunjukkan Nidarahayu Zainal dan suaminya Raibafie Amdan menyertai sebuah acara di luar negara bersam bendera PKR. PKR berkata pasangan itu bukan ahli atau mempunyai kaitan dengan parti.
Gambar ini menunjukkan Nidarahayu Zainal dan suaminya Raibafie Amdan menyertai sebuah acara di luar negara bersam bendera PKR. PKR berkata pasangan itu bukan ahli atau mempunyai kaitan dengan parti.

PKR hari ini menjarakkan diri daripada pasangan warga Malaysia yang dipercayai direkrut badan perisikan Mossad untuk seorang warga Palestin bulan lalu, selepas gambar tular di media sosial menunjukkan mereka berdua menyertai tunjuk perasaan dengan bendera parti itu, menimbulkan persoalan mengenai kecenderungan politik mereka.

Dalam sebuah kenyataan, Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil berkata Nidarahayu Zainal dan Raibafie Amdan yang merupakan dua daripada 11 suspek yang  kini berdepan pertuduhan menculik lelaki Palestin bulan lalu bukan ahli parti itu.

“Berhubung gambar individu tersebut mengangkat bendera PKR, atau gambar akaun Facebook dengan logo PKR sekitar 2018, ianya merupakan tindakan dan pilihan individu terbabit dan tidak ada kaitan sama sekali dengan parti,” katanya.

Susulan laporan media mengenai insiden penculikan itu, gambar dimuat naik Nidarahayu yang menunjukkan dia dan suami menyertai himpunan di luar negara itu tular dan dikongsi ramai di media sosial.

Pasangan itu adalah antara 11 warga Malaysia yang menerima pertuduhan mahkamah minggu lalu bagi kes penculikan seorang pereka program komputer, yang dipercayai Mossad bekerja untuk kumpulan Hamas.

Bagaimanapun, kumpulan itu dikatakan gagal dalam menjalankan operasi rahsia tersebut apabila tersalah mangsa akibat kecuaian mereka sendiri.

Dalam laporan New Straits Times, Omar ZM ditemui di sebuah chalet di Kuala Langat, Selangor, di mana penculik menjalankan sesi penyeksaan dan soal siasat dengan menerima arahan daripada pengendali mereka dari Israel melalui panggilan video.

Individu lain yang turut menerima pertuduhan sama termasuk Edy Ko'im Said, Mohamad Norakmal Hassan, Dody Junaidi, Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, Mohamad Naziree Mustapha, Faizull Hardey Mohd Isa, Muhammad Iqmal Abdul Rahis, Mohamad Sufian Saly, Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi.

Dalam pada itu, Fahmi berkata Nidarahayu dan suaminya tidak mempunyai kaitan dengan PKR atau mana-mana cabang parti dan turut mengucapkan tahniah kepada pihak polis kerana berjaya membebaskan warga Palestin berkenaan.