- Iklan -
Berita

2 lagi didakwa culik warga Palestin

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua lelaki terbabit kerana kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
11 suspek yang ditahan berhubung penculikan seorang pereka program komputer warga Palestin Omar ZM Albelbaisy Raeda di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 14 Oktober. Gambar: Bernama
11 suspek yang ditahan berhubung penculikan seorang pereka program komputer warga Palestin Omar ZM Albelbaisy Raeda di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 14 Oktober. Gambar: Bernama

Dua lagi individu didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menculik seorang lelaki warga Palestin bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

Mohd Zaidi Mohd Zain, 54, dan Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 49, mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan majistret Wong Chai Sia.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua lelaki terbabit kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara niat bersama menahan Omar ZM Albelbaisy Raeda untuk mendapat ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Mayang, Kuala Lumpur, pada 10.40 malam, 28 September lepas, kesalahan mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin selepas timbalan pendakwa raya Kamarul Aris Kamalluddin memaklumkan jaminan tidak ditawarkan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Disember ini.

Pada 5 Oktober, media melaporkan polis menyelamatkan mangsa berumur 31 tahun itu sehari selepas dia diculik oleh individu yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire.

Mangsa diselamatkan selepas polis menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang dan Beranang di Selangor, serta di Melaka bermula 29 September hingga 4 Oktober.

Pada 14 Oktober lepas, 11 individu termasuk seorang wanita didakwa di mahkamah sama atas pertuduhan menculik mangsa sama (Omar), bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.