- Iklan -
Berita

MoU kerajaan-PH perkasa negara berdepan pelbagai cabaran, kata menteri

Tumpuan akan dapat dilakukan terhadap segala usaha ke arah memperkasa dan memenangi perang melawan Covid-19.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Persembahan bertemakan Keluarga Malaysia oleh artis budaya pada sambutan Hari Malaysia 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 16 September, 2021. Gambar: Bernama
Persembahan bertemakan Keluarga Malaysia oleh artis budaya pada sambutan Hari Malaysia 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 16 September, 2021. Gambar: Bernama

Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) akan memperkasa negara dalam menempuh pelbagai cabaran, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa.

Beliau berkata melalui MoU itu, tumpuan akan dapat dilakukan terhadap segala usaha ke arah memperkasa dan memenangi perang melawan Covid-19, melakukan transformasi pentadbiran serta pembaharuan Parlimen.

“Inisiatif besar itu terbit daripada sifat dan kepimpinan perdana menteri (Ismail Sabri Yaakob) yang sentiasa mengutamakan keterbukaan, kesederhanaan serta meletakkan kepentingan rakyat dan negara pada kedudukan dan keutamaan tertinggi.

“Semangat kepimpinan ditunjukkan beliau umpama satu warna baru yang mencorakkan roh dan semangat sambutan Hari Malaysia 2021. Marilah kita bersama-sama mendukung aspirasi membina Keluarga Malaysia yang harmoni bersatu padu, cemerlang lagi terbilang,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2021 di Kota Kinabalu malam tadi.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin, Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Ketua Menteri Sabah Bung Moktar Radin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Maximus Ongkili.

Annuar, yang merupakan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2021, berkata kehadiran Ismail merasmikan sambutan Hari Malaysia menyuntik semangat semua pihak untuk menyahut seruan bersama-sama membangunkan negara sebagai satu Keluarga Malaysia yang bersatu tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik.

“Sabah, sebagai sebuah negeri yang sungguh indah, kaya dengan seni budaya dan kepelbagaian kaum yang sentiasa hidup dalam suasana harmoni dan bersatu padu adalah cerminan wajah Keluarga Malaysia yang terbaik bagi semua,” katanya.