- Iklan -
Berita

Los Angeles wajibkan murid sekolah awam divaksin untuk sesi pembelajaran bersemuka

Kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas wajib menerima vaksin lengkap untuk sesi pembelajaran secara bersemuka di sekolah.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Pelajar sekolah di Los Angeles perlu mendapatkan dos pertama vaksin bermula November depan. Gambar: Reuters
Pelajar sekolah di Los Angeles perlu mendapatkan dos pertama vaksin bermula November depan. Gambar: Reuters

Kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas yang belajar di sekolah awam Los Angeles dikehendaki lengkap vaksinasi Covid-19 menjelang awal tahun depan, kata pengarah-pengarah lembaga pendidikan bandar itu pada Khamis.

Syarat itu diumumkan berikutan hasil undian pada mesyuarat Daerah Kesatuan Sekolah Los Angeles (LAUSD) yang merupakan daerah sekolah awam kedua terbesar di AS.

Sehubungan keputusan tersebut, ia menjadi contoh pertama kepada lembaga sekolah lain di seluruh negara tersebut.

Kira-kira 600,000 pelajar mengikuti pendidikan di sekolah awam bawah pengendalian LAUSD, termasuk kira-kira 220,000 yang layak untuk divaksinasi.

Presiden LAUSD, Kelly Gonez, mengalu-alukan hasil undian itu dengan menegaskan vaksin Covid-19 adalah selamat, berkesan serta merupakan langkah terbaik untuk melindungi pelajar daripada ancaman virus terbabit.

“Kami akan berusaha memastikan keluarga mereka mempunyai maklumat perubatan yang boleh dipercayai dalam beberapa minggu akan datang,” katanya menerusi sebuah ciapan Twitter selepas mesyuarat itu.

Daerah sekolah itu juga sebelum ini telah mewajibkan ujian saringan berkala terhadap pelajar, kakitangannya wajib divaksin selain mewajibkan pemakaian pelitup muka di kawasan sekolah.

Bawah peraturan baru itu, semua pelajar yang menghadiri persekolahan secara bersemuka, perlu mendapatkan suntikan dos pertama menjelang 21 November depan.

Suntikan dos kedua vaksin pula perlu diterima menjelang 10 Januari tahun depan.