- Iklan -
Berita

Mahkamah tolak saman Khairuddin terhadap Muhyiddin, kerajaan

Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas mendengar hujah pihak-pihak yang terlibat dalam prosiding secara dalam talian.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas penyelaras Parlimen Jasin Khairuddin Abu Hassan. Gambar: Bernama
Bekas penyelaras Parlimen Jasin Khairuddin Abu Hassan. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan kerajaan untuk membatalkan saman pemula bekas penyelaras Parlimen Jasin Khairuddin Abu Hassan yang mencabar tindakan Muhyiddin Yassin menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung Proklamasi Darurat bagi mengekang penularan Covid-19.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, yang mewakili Khairuddin semasa dihubungi pemberita berkata hakim Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas mendengar hujah pihak-pihak yang terlibat dalam prosiding secara dalam talian.

“Mahkamah membenarkan permohonan kerajaan untuk membatalkan saman pemula difailkan anak guam saya,” katanya dan menambah bahawa beliau akan mendapatkan arahan Khairuddin sama ada untuk merayu terhadap keputusan itu.

Peguam Kanan Persekutuan S. Narkunavathy mewakili bekas perdana menteri itu dan Kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua.

Pada 17 Februari lepas, Muhyiddin dan kerajaan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman Khairuddin atas alasan saman tersebut remeh, menyusahkan dan suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

Khairuddin memfailkan saman pemula itu pada 18 Januari lepas, antara lain memohon mahkamah memutuskan empat persoalan undang-undang dan keperlembagaan berhubung proklamasi darurat tersebut.

Bagaimanapun pada 23 Jun, Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk merujuk empat persoalan undang-undang itu ke Mahkamah Persekutuan.

Pada 12 Jan lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah telah memberi perkenan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos 2021 sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia.

Muhyiddin, pada hari sama, menjelaskan bahawa jemaah menteri telah menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan Proklamasi Darurat itu bagi seluruh negara mengikut Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan berkuat kuasa 11 Januari hingga 1 Ogos 2021.

Perkara 150 (1) memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat jika suatu darurat besar sedang berlaku menyebabkan keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam persekutuan terancam.