- Iklan -
Berita

Sultan Selangor ulangi amaran terhadap amalan rasuah, salah guna kuasa penjawat awam

Sultan Sharafuddin menyatakan kekesalan kerana masih ada yang tidak jujur di dalam melaksanakan amanah sebagai penjawat awam dan ahli politik.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah. Gambar: Facebook
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah. Gambar: Facebook

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini mengulangi amaran beliau terhadap amalan rasuah, salah guna kuasa penjawat awam dalam titah ucapan pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Dalam ucapannya, Sultan Sharafuddin menyatakan kekesalan kerana masih ada yang tidak jujur di dalam melaksanakan amanah yang diletakkan kepada mereka sebagai penjawat awam dan pemimpin politik.

“Telah seringkali Beta ingatkan untuk tidak melibatkan diri dengan gejala rasuah yang boleh merosakkan bangsa dan Negara.

“Beta mengingatkan sekali lagi bahawa Beta tidak mahu mendengar sebarang laporan tentang penglibatan mana-mana pegawai kerajaan dan pemimpin politik negeri Beta di dalam amalan rasuah ini,” tambahnya.

Menurut Sultan Selangor, beliau sudah menitahkan SPRM untuk menjalankan siasatan menyeluruh bagi membersihkan negeri itu daripada amalan rasuah.

“Beta juga berharap agar pelaku rasuah ini dapat dihadapkan ke mahkamah dan jika disabit, perlu dihukum dengan hukuman yang berat bagi menyampaikan mesej penolakan rakyat terhadap gejala rasuah ini.

“Perasuah tiada tempat di dalam masyarakat dan perlu kita perangi secara habis-habisan.”

Persidangan penggal ke-4 DUN Selangor bagi tahun 2021 dimulakan hari ini dengan titah perasmian Sultan Selangor dan akan berlangsung hingga 6 September depan.

Terdahulu, dalam sebuah hantaran Facebook, Sultan Selangor turut menyatakan kebimbangan serupa mengenai tahap rasuah di negeri itu yang dilaporkan semakin tinggi.

Sultan Sharafuddin juga mahu perbicaraan kes-kes rasuah disegerakan dan mahkamah tidak melayani penangguhan kes tanpa alasan yang kukuh.

Menurutnya, rakyat sudah muak dan bosan melihat pendakwaan kes-kes rasuah yang berlarutan terlalu lama.

Dalam titah perasmian hari ini, Sultan Sharafuddin mengingatkan bahawa beliau tidak mahu mendengar sebarang laporan tentang penglibatan mana-mana pegawai kerajaan dan pemimpin politik Selangor dalam amalan rasuah.

“Beta telah pun menitahkan pihak SPRM untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi membersihkan Selangor dari amalan rasuah,” katanya.