- Iklan -
Berita

Kos dan faedah mengadakan pilihan raya sewaktu pandemik

Logistik keselamatan dalam mengadakan pilihan raya bagi 15 juta pengundi akan menjadi cabaran namun ahli ekonomi Madeline Berma mengatakan faedah jangka panjang akan melebihi kosnya.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan memeriksa dan melakukan disinfeksi peti undi. Gambar: Bernama
Petugas kesihatan memeriksa dan melakukan disinfeksi peti undi. Gambar: Bernama

Pilihan raya umum yang dijanjikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan diadakan pada Julai tahun depan bakal menyaksikan sekurang-kurangnya 15 juta rakyat Malaysia turun mengundi, memberikan cabaran yang tidak pernah wujud sebelum ini kepada pihak berkuasa dalam memastikan langkah-langkah keselamatan bagi melindungi pengundi daripada wabak Covid-19.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ikmalrudin Ishak berkata, daftar pemilih yang diwartakan sebelum pembubaran Parlimen akan digunakan ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

“Jumlah pengundi berdaftar sekarang adalah 15.36 juta,” katanya kepada MalaysiaNow.

Kebiasaannya, pengundian akan diadakan di kawasan-kawasan seperti sekolah yang mudah diakses pengundi memandangkan jaraknya yang berhampiran dengan masyarakat setempat.

Namun kebimbangan berhubung Covid-19, terutama penularan varian Delta yang dikatakan lebih mudah dijangkiti bakal memberikan cabaran berganda kepada pihak berkuasa selain daripada pemilihan lokasi pengundian.

Kawalan pergerakan orang ramai dan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) seperti penggunaan pelitup muka dan penjarakan fizikal juga perlu dipertimbangkan.

Selain itu kos pilihan raya pandemik juga terpaksa difikirkan pihak berkuasa.

Ikmalrudin berkata, pilihan raya umum yang diadakan semasa pandemik akan menyaksikan kos lebih tinggi, terutamanya sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang tertangguh akan diadakan serentak.

Bagaimanapun, katanya, persiapan tetap dijalankan bagi berdepan situasi tersebut.

Menurutnya lagi SPR juga berunding dengan pihak berkuasa yang berkenaan bagi mengkaji pelan dan garis panduan keselamatan pilihan raya.

Antara yang terlibat termasuk beberapa agensi dan kementerian termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), kementerian kesihatan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan polis.

Dalam perutusan khasnya pada Jumaat lalu, Muhyiddin berkata PRU15 akan diadakan pada bulan Julai 2022 mengikut situasi pandemik.

Beliau juga turut menawarkan beberapa perkara dalam undangan persefahaman rentas parti politik termasuk peruntukan dana sama rata kepada semua ahli Parlimen di seluruh negara, penggubalan undang-undang anti lompat parti, membataskan pemerintahan perdana menteri selama dua penggal dan perwakilan ahli Parlimen yang seimbang daripada kerajaan dan pembangkang dalam Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen.

Tawaran itu bagaimanapun ditolak gabungan Pakatan Harapan, sekumpulan ahli Parlimen Umno dan Pejuang.

Ketika Muhyiddin menekankan akan wujud ketidakpastian jika pertukaran pentadbiran dilakukan semasa wabak melanda negara, ahli ekonomi Madeline Berma berkata tidak mengadakan pilihan raya sebaliknya akan menjadi pertaruhan dalam bentuk yang berbeza.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Madeline mengakui wujud kebimbangan untuk mengadakan pilihan raya semasa krisis Covid-19, namun beliau berkata faedah terhadap sosial ekonomi dan kestabilan politik jangka panjang akan melebihi risiko mengadakan pilihan raya ketika pandemik.

“Kerajaan ketika ini tidak memiliki majoriti di Parlimen untuk merancang dan melaksanakan reformasi struktur seperti reformasi percukaian, kewangan dan memberdayakan usaha penyesuaian terhadap trend mega pasca pandemik,” katanya.

“Pembaharuan struktur banyak variasi dan perlukan masa untuk membuahkan hasil. Kerajaan dengan majoriti tipis di Parlimen tidak mempunyai waktu untuk laksanakannya.”

Beliau turut berbicara mengenai keperluan untuk meningkatkan kecekapan, keanjalan dan ketahanan dengan mengatakan pembaharuan-pemaharuan sedemikian akan menajangkaui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau Penjana.

“Semua itu adalah langkah jangka pendek dan pertengahan dan sesuai untuk mengatasi masalah segera seperti kelangsungan hidup dan meletakkan makanan di atas meja rakyat,” katanya.

“Pakej rangsangan fiskal adalah sangat bagus tetapi kita perlukan penyelesaian jangka panjang untuk menyelesaikan masalah struktur yang sudah wujud sebelum Covid.”

Beliau berkata pembaharuan juga diperlukan untuk percukaian, pasaran tenaga kerja, pasaran produk dan sektor awam.

“Ekonomi kita pada masa ini didasari model yang tertumpu kepada tenaga buruh dan berorientasikan eksport sehingga menjadi punca pergantungan kepada buruh asing yang dibayar upah rendah, produktiviti rendah buruh, pengangguran lulusan universiti, pendapatan rendah, selain menghalang daya saing berlaku,” katanya.

“Kerajaan yang mendapat sokongan penuh di Parlimen akan dapat merancang dan melaksanakan pembaharuan struktur bagi memulihkan ekonomi dan memperkuat daya saing Malaysia.

“RM1.2 bilion (untuk pilihan raya) adalah harga yang harus dibayar oleh Malaysia bagi mendapatkan kerajaan yang mempunyai mandat yang kukuh di Parlimen demi membawa negara kita ke tahap ekonomi baru dalam era pasca pandemik.”