- Iklan -
Berita

Parlimen dikuarantin, ahli Dewan tak dibenarkan tinggalkan bangunan

Sesi Dewan Rakyat yang dinantikan hari ini telah ditangguh dua kali.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Suasana ruang legar Bangunan Parlimen ketika sidang khas Dewan Rakyat yang bermula 26 Julai lalu. Gambar: Bernama
Suasana ruang legar Bangunan Parlimen ketika sidang khas Dewan Rakyat yang bermula 26 Julai lalu. Gambar: Bernama

Sesi petang Dewan Rakyat hari ini ditangguhkan ke pukul 5.15 petang selepas Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengeluarkan arahan bangunan Parlimen dikuarantin susulan pengesanan beberapa kes Covid-19 di premis tersebut.

Timbalan Speaker Rashid Hasnon berkata kesemua kakitangan Parlimen dan ahli-ahli Parlimen yang hadir dalam mesyuarat khas Dewan Rakyat ketika ini perlu menjalani ujian saringan virus.

Pengumuman tersebut disambut dengan pekikan ahli-ahli Parlimen pembangkang yang menantikan respons daripada kerajaan berhubung kenyataan Istana Negara yang mengkritik langkah kerajaan membatalkan ordinan darurat.

Kenyataan Istana Negara hari ini antara lain menyatakan Yang di-Pertuan Agong dukacita kerana perkara tersebut tidak dibahaskan terlebih dahulu di Parlimen selain beliau belum memperkenankan pembatalan ordinan darurat tersebut.

Terdahulu, hampir 40 kakitangan Parlimen dilaporkan telah diuji positif Covid-19 dalam ujian saringan pada 21 Julai lalu menjelang sidang khas Dewan Rakyat yang bermula pada 26 Julai.

Sekurang-kurangnya dua ahli Parlimen dan beberapa pembantu mereka telah diuji positif sementara yang kakitangan lain diarahkan untuk menjalani kuarantin kendiri kerana turut menjadi kontak rapat.

Mereka yang diuji positif termasuk Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.