- Iklan -
Berita

5 perkara perlu diketahui menjelang sidang khas Parlimen 26 Julai

Sekilas pandang tentang beberapa perbezaan antara sidang khas dan sidang biasa di Parlimen.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Sidang Khas Dewan Rakyat dijadualkan akan berlangsung pada 26 Julai depan. Ia adalah persidangan kali pertama Parlimen tahun ini.
Sidang Khas Dewan Rakyat dijadualkan akan berlangsung pada 26 Julai depan. Ia adalah persidangan kali pertama Parlimen tahun ini.

Sidang khas Parlimen selama lima hari bermula 26 Julai depan, pertama kali semenjak Proklamasi Darurat diisytiharkan pada Januari, akan diadakan bagi kerajaan membentangkan proklamasi darurat dan ordinan-ordinan darurat seperti yang dikehendaki Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Bagaimanapun, sidang khas Parlimen ini dikritik pembangkang kerana dikatakan tidak mempunyai perbahasan dan hanya seperti taklimat diberikan menteri.

MalaysiaNow cuba mendapatkan penjelasan daripada sumber kerajaan berhubung Sidang Khas Parlimen yang akan bermula Isnin depan.

(1) Apakah perbezaan antara sidang khas Parlimen dan sidang biasa Parlimen?

• Secara amnya, tempoh persidangan setiap tahun Parlimen dikenali sebagai Penggal Parlimen.

• Tempoh penamatan Penggal Parlimen pula dikenali sebagai Prorog, yang mana Sidang Parlimen diprorog ke Penggal Parlimen yang baru.

• Persidangan Majlis dalam sesuatu Penggal Parlimen dikenali sebagai Mesyuarat.

• Peraturan Mesyuarat 11(3) menyatakan sekiranya perdana menteri memaklumkan kepada Yang di-Pertua Dewan akan isu yang mustahak ataupun mempunyai faedah kepada orang ramai, satu Mesyuarat ataupun sidang khas perlu diadakan sekiranya Majlis berada dalam tangguhan iaitu sebelum Dewan diprorog.

• Sidang khas Parlimen ini berbeza dengan sidang biasa Parlimen kerana ianya mesti diadakan lebih awal dari sidang biasa Parlimen yang ditetapkan tarikhnya oleh Takwim.

• Sidang khas Parlimen juga tiada tempoh Pemberitahuan/Notis berbanding dengan Notis 28 Hari bagi sidang biasa Parlimen.

(2) Apakah perbezaan Aturan Urusan Mesyuarat antara sidang khas Parlimen berbanding sidang biasa Parlimen?

• Peraturan Am 11(3) menyatakan bagi sidang khas Parlimen, perdana menteri akan menetapkan Aturan Urusan Mesyuarat mengikut budi bicara beliau.

(3) Bolehkan ahli Parlimen membawa usul ke dalam Dewan untuk dibahaskan, dan adakah ianya akan ditolak ataupun diterima?

• Mengikut Peraturan Am 11(3), perdana menteri menetapkan Aturan Urusan Mesyuarat yang hanya akan melibatkan:

a) Pembentangan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat.

b) Pembentangan Proklamasi Darurat (2) bertarikh 12 Disember 2020 mengenai Pilihan Raya Kecil Parlimen Gerik serta Pembentangan Proklamasi Darurat (3) bertarikh 12 Disember 2020 mengenai Pilihan Raya Kecil N66 Bugaya, Sabah.

c) Penerangan menteri-menteri di bawah Peraturan Am 14(1)(i).

(4) Bolehkah ahli Dewan membahaskan perkara-perkara yang dibentangkan dalam sidang khas Parlimen ini?

• Pembentangan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat bagi sidang khas ini bermaksud dokumen-dokumen tersebut diletakkan di atas meja, bukan untuk dibahaskan dan diundi.

• Di dalam Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, perkataan Bahasa Inggeris bagi terma Pembentangan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat adalah “laid”, (laid before both Houses of Parliaments) dan bukannya “tabled”, jika “tabled” barulah untuk dibahas dan diundi.

(5) Bolehkan ahli-ahli Dewan bertanyakan soalan semasa sesi penerangan menteri-menteri.

• Ahli-ahli Dewan boleh bertanyakan soalan hanya selepas menteri selesai setiap sesi penerangan dan terhad kepada isu yang merangkumi penerangan menteri.