- Iklan -
Berita

Vaksinasi secara ‘walk in’ warga emas di Lembah Klang bermula esok

Kaedah tersebut hanya dikhususkan kepada golongan warga emas yang sehingga kini masih belum menerima tarikh janji temu suntikan vaksin Covid-19.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang warga emas duduk di kerusi roda sambil ditolak oleh ahli keluarganya selepas menerima suntikan vaksin di Pangsapuri PKNS, Kampung Baru.
Seorang warga emas duduk di kerusi roda sambil ditolak oleh ahli keluarganya selepas menerima suntikan vaksin di Pangsapuri PKNS, Kampung Baru.

Warga emas berusia 60 tahun dan ke atas boleh jumpa terus (walk-in) di mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV) di Lembah Klang mulai esok (17 Julai), untuk menerima suntikan Covid-19, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata kaedah tersebut hanya dikhususkan kepada golongan warga emas yang sehingga kini masih belum menerima tarikh janji temu suntikan vaksin Covid-19.

“Warga emas yang hadir akan dibenarkan masuk ke PPV menggunakan laluan khas yang disediakan,” katanya dalam sidang media perkembangan PICK secara maya bersama Menteri Kesihatan Dr Adham Baba hari ini.

Pelaksanaan kaedah vaksinasi secara jumpa terus bagi warga emas berusia 60 ke atas itu diumumkan oleh Adham dalam satu sidang media khas Kementerian Kesihatan, semalam.

Memperincikan perkara itu, Khairy berkata petugas di PPV akan mendaftarkan warga emas berkenaan secara manual sekiranya mereka belum mendaftar melalui aplikasi MySejahtera atau di laman sesawang rasmi Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Petugas PPV juga akan mendapatkan maklumat waris atau keluarga untuk dihubungi bagi tujuan peringatan vaksinasi dos kedua, katanya.

Bagaimanapun, Khairy mengingatkan warga emas yang diberikan tarikh janji temu agar tidak datang ke PPV secara jumpa terus bagi mendapatkan vaksinasi sebaliknya menunggu tarikh yang ditetapkan.

“Kaedah ‘walk-in’ ini hanya untuk warga emas yang belum menerima tarikh janji temu sahaja. Yang sudah terima tarikh melalui MySejahtera, sila ikut tarikh yang ditetapkan. Saya beri jaminan, mereka akan terima suntikan dos pertama sebelum 1 Ogos ini,” katanya.

Kira-kira 2.68 juta warga emas mendapat sekurang-kurangnya suntikan dos suntikan vaksin Covid-19 melalui fasa kedua PICK yang dikhususkan untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah komorbid selain Orang Kurang Upaya.